KMKK Perlu Main Peranan Aktif Hubungkan Kerajaan Dan Masyarakat
DARO: Seramai 10 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Daro menerima lantikan semula dan lantikan baharu bagi memperkukuh peranan mereka sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, berkata KMKK perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan maklumat mengenai inisiatif, program dan bantuan kerajaan disampaikan kepada masyarakat dengan tepat dan jelas.
Pada masa sama katanya, KMKK perlu menjadi saluran bagi menyampaikan maklum balas serta permasalahan penduduk kepada pihak kerajaan supaya keperluan masyarakat dapat dikenal pasti dan tindakan sewajarnya diambil.
“KMKK perlu terus menjadi mata dan telinga kerajaan serta sentiasa menjadi penyampai maklumat berkaitan inisiatif kerajaan supaya rakyat di kawasan masing-masing mendapat maklumat yang tepat.
“Pada masa sama, KMKK juga perlu membantu menyampaikan suara dan permasalahan rakyat kepada pihak kerajaan agar tindakan yang bersesuaian dapat diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Lantikan Semula dan Lantikan Baharu Perkhidmatan KMKK Daerah Daro di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Daro, di sini, pada Khamis.
Menurut Safiee, keberkesanan peranan KMKK penting dalam memastikan hubungan antara kerajaan dengan masyarakat terus kukuh, selain membantu memelihara keharmonian dan kesejahteraan komuniti setempat.
Beliau turut mengingatkan semua penerima supaya melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab, integriti dan komitmen, serta sentiasa mengutamakan kebajikan masyarakat.
Pelantikan semula dan lantikan baharu berkenaan turut memberi kesinambungan kepada kepimpinan masyarakat di peringkat akar umbi dalam memastikan saluran komunikasi antara kerajaan dengan penduduk terus berfungsi secara berkesan.-EDISI UKAS