Klinik Tinju SKS Betong Perluas Kumpulan Bakat Atlet Sarawak
BETONG: Usaha memperluas kumpulan bakat atlet tinju Sarawak terus diperkasa menerusi penganjuran Klinik Tinju sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong, khususnya bagi menarik lebih ramai generasi muda menceburi sukan berkenaan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, pembentukan kumpulan bakat yang lebih besar penting bagi membolehkan Sarawak melahirkan lebih ramai atlet berpotensi serta mengisi pelbagai kategori pertandingan.
Menurutnya, usaha berkenaan juga penting bagi meningkatkan prestasi sukan tinju Sarawak pada temasya sukan akan datang.
“Kita ingin melihat lebih banyak pool talent atlet kita supaya sukan tinju dapat meningkat. Kalau kita lihat pada SUKMA yang lepas, kita tidak mencapai sasaran kerana negeri-negeri lain juga telah meningkat.
“Jadi kita inginkan lebih ramai atlet kita yang berkecimpung dalam sukan ini. Daripada kumpulan bakat yang lebih besar itu, barulah kita dapat mengisi semua kategori seperti featherweight, bantamweight dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pra Perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Betong di Kompleks Sukan Betong, di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata Klinik Tinju itu turut memberi peluang kepada masyarakat mengenali dan bertemu ikon-ikon sukan, sekali gus menarik minat generasi muda untuk menceburi sukan berkenaan.
Dalam pada itu, Datuk Gerald berkata, SKS Bahagian Betong yang berlangsung selama tiga hari menyasarkan kehadiran lebih 120,000 pengunjung.
Katanya, program berkenaan turut berperanan sebagai platform sehenti bagi memudahkan rakyat mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan kerajaan, termasuk penggunaan aplikasi digital seperti Sarawak ID.
“Ini penting kerana kita mahu SKS menjadi satu ‘one-stop centre’ untuk terus memberikan maklumat kepada rakyat.
“Kalau ada apa-apa aduan atau masalah, kita boleh ambil tindakan dengan lebih cepat, terutamanya dalam aspek pendigitalan kerana kita sekarang banyak menggunakan aplikasi baharu seperti Sarawak ID,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar turut memaklumkan kerja-kerja penambahbaikan Stadium Taha Ariffin kini sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada suku pertama 2027.
Menurutnya, kerja berkenaan melibatkan penambahbaikan padang turf, kemudahan bilik persalinan, tempat duduk serta aspek keselamatan stadium.
“Kita mahu memastikan fasiliti ini bukan sahaja digunakan untuk permainan bola sepak, tetapi menjadi sebuah kemudahan yang kondusif dan selamat. Kalau stadium penuh, aspek kecemasan sangat penting dan sebab itu kita perlu bekerjasama dengan pihak bomba dan PDRM.
“Kita juga akan melaksanakan audit keselamatan secara berperingkat supaya stadium ini dapat digunakan pada tahap yang lebih baik dan selamat,” katanya.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datu Ir. Ts. Awang Mohd Fadillah Awang Redzuan, Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak, Sapiah Daud, Pengarah Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU), Datu Grace Huong Siew Hung, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, isteri kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Baduyah Bujang serta tetamu lain. -EDISI UKAS