Kerjasama Bantu Rakyat Dapatkan Dokumen Pengenalan Diri Diperkukuh
SRI AMAN: Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan, Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta pemimpin setempat bagi membantu rakyat yang masih berdepan isu ketiadaan dokumen pengenalan diri, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, kerjasama tersebut penting bagi memastikan rakyat mendapat bimbingan sewajarnya untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri melalui saluran yang betul.
"Kerjasama erat antara agensi kerajaan, KMKK dan pemimpin setempat adalah amat penting bagi menyelesaikan isu ini memandangkan rakyat perlu mendapat bimbingan bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri melalui saluran yang betul.
"Dengan adanya dokumen pengenalan diri ini, maka rakyat akan mendapat akses kepada pelbagai kemudahan kerajaan dan seterusnya mewujudkan asas kepada kesejahteraan sosial dan pembangunan komuniti di penempatan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat bersempena dengan upacara Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri kepada 12 penerima anjuran Persatuan KMKK Bukit Begunan di Rumah Ramping, Klauh Dau, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Datuk Mong menyeru rakyat yang terlibat dalam permohonan dokumen pengenalan diri agar memberi kerjasama kepada agensi kerajaan dan pemimpin setempat bagi membantu mempercepatkan proses berkenaan.
Katanya, kegagalan memberikan kerjasama boleh menyebabkan mereka berdepan kesukaran untuk mendapatkan bantuan kebajikan, pendidikan dan peluang pekerjaan.
"Justeru, saya berharap agar rakyat yang masih belum memiliki dokumen pengenalan diri agar tampil segera mendapatkan khidmat nasihat daripada KMKK serta agensi berkaitan supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan," ujarnya.
Pada majlis sama, Datuk Mong turut mengumumkan peruntukan RM150,000 menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Bukit Begunan bagi menaik taraf prasarana di Rumah Unggi, Klauh Tinting.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM15,000 menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Ramping, Klauh Dau serta RM5,000 kepada biro wanita organisasi berkenaan.
Hadir sama Penolong Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Dr Petrus Basik, Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman Kaunselor Anthony Abell Chendan, Ketua Pendaftar Jabatan Pendaftaran Negara Bahagian Sri Aman Eric Douglas serta Temenggong Leonard Libau Abol.-EDISI UKAS