MERADONG: Pesta Kuih Bulan merupakan salah satu perayaan tradisional penting masyarakat Cina yang melambangkan perpaduan, keharmonian serta kasih sayang dalam keluarga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, perayaan tersebut membolehkan masyarakat berkumpul antara satu sama lain dan meraikan sambutan yang menjadi warisan masyarakat Cina.
“Perayaan seperti ini memberi peluang kepada kita untuk berkumpul bersama keluarga, rakan-rakan dan masyarakat, di samping mengeratkan hubungan serta menghargai warisan budaya yang telah diwarisi dari generasi ke generasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perayaan Pertengahan Musim Luruh bersama Pesta Kuih Bulan serta Pertandingan Reka Bentuk Tanglung Kreatif Mesra Alam di Menara Jam Bintangor, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, satu pertandingan Reka Bentuk Tanglung Kreatif Mesra Alam telah diadakan pada tahun ini terbahagi kepada tiga kategori, iaitu Kategori Individu Kumpulan Rendah (Darjah 1 hingga Darjah 3), Kategori Individu Kumpulan Atas (Darjah 4 hingga Darjah 6) serta Kategori Berkumpulan.
Bagi Kategori Individu Kumpulan Rendah dan Kumpulan Atas, seramai 75 orang murid telah mengambil bahagian, manakala Kategori Berkumpulan pula melibatkan 50 orang peserta.
Datuk Ding menyifatkan pertandingan tanglung mesra alam sebagai satu platform yang baik untuk mencungkil bakat dan kreativiti murid-murid.
Penggunaan bahan terpakai serta bahan yang boleh dikitar semula dalam menghasilkan tanglung secara tidak langsung dapat memupuk kesedaran terhadap alam sekitar sejak usia muda.
Tambahnya, sekiranya sambutan terhadap penyertaan berbilang kaum terus menggalakkan, satu kategori khas untuk peserta berbilang bangsa boleh dipertimbangkan dalam pertandingan reka bentuk tanglung pada masa akan datang. -EDISI UKAS