Kontinjen Sarawak Sasarkan Kejuaraan AGG Malaysia 2026
KUCHING: Kontinjen gimnastik Sarawak bersedia mencabar kejuaraan pada Malaysia AGG Championship 2026 dan Dato’ Malek Cup 2026 yang berlangsung di Endah Parade pada 26 dan 27 September ini.
Kontinjen Sarawak diketuai Chef de Mission, Aidwina Aidan Wing bersama barisan pengurus pasukan, jurulatih dan hakim berangkat ke Kuala Lumpur hari ini bersama wakil kelab dan sekolah dari Kuching dan Sibu, memperlihatkan perkembangan sukan Aesthetic Group Gymnastics (AGG) di Sarawak.
Sebanyak enam kelab dan sekolah menyertai kontinjen berkenaan iaitu Track & Dance, Mine Dance Studio, SJK(C) Chung Hua Sungai Lubak, SJK(C) Chung Hua No. 6, SJK(C) Sungai Apong dan Rainbow Rhythmic Gymnastics Club, Sibu, dengan pasukan bertanding dalam Program IFAGG, NAD dan Compulsory melibatkan kategori bawah 10 hingga bawah 18 tahun.
Antara pasukan yang membawa nama Sarawak ialah TD Elite Prime, Night Stone, Luminous, Stars of Sarawak, Lubak Nova, Hexa Legends, Silver Swan, Harmony Bloom, Hexa Heroes, Lubak Shine, Rainbow Ruby, The Gifted Bunnies, S.L. Elite dan Lubak Phoenix, dengan kontinjen itu turut menjalani raptai terakhir di Dewan Sa’ati sebelum berangkat ke Kuala Lumpur.
Penyertaan tahun ini turut menyaksikan penglibatan Rainbow Rhythmic Gymnastics Club dari Sibu bersama kelab dan sekolah dari Kuching, sekali gus mencerminkan perkembangan AGG yang semakin meluas di Sarawak serta memberi peluang kepada golongan muda untuk membina disiplin, keyakinan diri dan semangat berpasukan.
Dalam pada itu, Kontinjen Sarawak turut menerima kunjungan Chan Lay Na pada raptai terakhir bagi memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada para gimnas sebelum berangkat ke Kuala Lumpur.-EDISI UKAS