GEDONG: Penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu dipupuk sejak di bangku sekolah bagi melahirkan generasi muda berkemahiran tinggi yang mampu menyokong pembangunan teknologi serta ekonomi digital Sarawak.
Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata, pendedahan awal penting bagi membina minat dan keyakinan pelajar untuk meneroka bidang STEM sebelum membuat pilihan aliran di tingkatan empat dan lima.
“Kita memerlukan lebih ramai anak muda yang mempunyai kemahiran dalam bidang STEM bagi menyokong pembangunan dan ekonomi negeri kita. Sebab itu, minat terhadap STEM perlu dipupuk sejak di bangku sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian STEM Hub Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gedong pada Jumaat.
Rodiyah berkata, Kerajaan Sarawak menyasarkan penyertaan pelajar dalam aliran Sains (STEM) meningkat kepada 60 peratus menjelang 2030, manakala SMK Gedong kini mencatat kira-kira 80 peratus penyertaan dalam aliran berkaitan STEM dan sekitar 20 peratus dalam kategori STEM A.
Menurut beliau, STEM Hub memberi peluang kepada pelajar mendapatkan pengalaman pembelajaran praktikal melalui penggunaan pencetak 3D, dron, robotik dan aktiviti inovasi.
“Justeru, kita mahu anak-anak di Batang Sadong, khususnya di Gedong, bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi mempunyai ilmu dan kemahiran untuk menjadi pencipta teknologi, inovator dan tenaga mahir yang akan menyumbang kepada pembangunan kawasan kita sendiri,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Rodiyah turut memaklumkan Projek Naik Taraf Bangunan SMK Gedong kini mencatat kemajuan 31.33 peratus dan dijangka siap pada Ogos 2028.
Projek bernilai RM51.999 juta itu merangkumi blok akademik, pentadbiran dan makmal, kantin, bengkel, dewan sekolah serta blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Menurutnya, kemudahan makmal baharu akan melengkapi STEM Hub dengan menyediakan ruang sesuai untuk pelajar menjalankan eksperimen, menghasilkan projek dan meneroka inovasi.
“Saya melihat kedua-dua usaha ini saling melengkapi. Kita bukan sahaja membina kemudahan fizikal sekolah, tetapi yang lebih penting, kita sedang membina minat, kemahiran dan keyakinan anak-anak kita untuk menghadapi masa depan,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Lighthouse of Hope Sarawak atas sokongan menjayakan STEM Hub SMK Gedong bagi tempoh tiga tahun sehingga 2028 dan SMK Gedong merupakan sekolah keenam yang dipilih sebagai STEM Hub oleh SEB.
Majlis turut menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan SMK Gedong, PPD Simunjan, Lighthouse of Hope Sarawak dan Sarawak Energy Berhad.
Turut diadakan Solar House Competition yang menyaksikan kumpulan Aureen Albert Veronica, Steward Fernandez l Kliberia dan Ambrose Lengi Jeffery muncul sebagai juara.
Rodiyah turut menyempurnakan penyerahan sumbangan bagi pembelian 10 unit penghawa dingin yang telah dipasang di sekolah itu.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Sains dan Matematik, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Solomon Kudik, Pengurus Besar, Jabatan Kelestarian, Sarawak Energy Berhad Mohamad Irwan Aman, Ketua Pegawai Eksekutif, Lighthouse of Hope Sarawak Dr. Lee Chee San, Timbalan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Simunjan Hamsiah Lazim serta Pengetua SMK Gedong, Hamdan Bujang.-EDISI UKAS