SEBUYAU: Projek Bina Baharu Parit Konkrit Kampung Seberang Darat di sini berjaya disiapkan lebih awal daripada tarikh siap yang ditetapkan, sekali gus memberi kemudahan lebih baik kepada penduduk setempat.
Projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) N.27 Sebuyau itu dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak dengan Riyanzul Enterprise sebagai kontraktor.
Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada 4 Ogos 2026 dan dijadualkan siap pada 1 Disember 2026.
Penyiapan lebih awal itu memberi manfaat kepada penduduk Kampung Seberang Darat, khususnya dalam aspek pengurusan sistem saliran serta membantu memastikan aliran air di kawasan kampung dapat dikendalikan dengan lebih baik.
Kemudahan parit konkrit baharu juga dijangka membantu mengurangkan masalah air bertakung serta memperbaiki keadaan persekitaran kampung, terutama ketika hujan lebat.
Hadir menyerahkan projek ialah wakil Pejabat Residen Samarahan Faemarshiela Christine Juel, wakil Pegawai Daerah Sebuyau Louis Andria Barieng, wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Samarahan Nyuak Iba.
Turut hadir, Ketua Kaum Kampung Seberang Wan Alwie Wan Mashor serta petugas Pusat Khidmat N.27 Sebuyau.-EDISI UKAS