MUKAH: Seramai 103 petani di Mukah menerima bantuan input pertanian menerusi Bantuan Baja Kelapa Sawit dan Lada (BBKSL) Fasa 4 Tahun 2026, bagi membantu meningkatkan produktiviti tanaman serta menyokong pendapatan golongan berkenaan.
Bantuan tersebut melibatkan petani dari kawasan Tellian dan Balingian, dengan setiap penerima menerima enam beg baja bagi memenuhi keperluan input tanaman.
Bagi pelaksanaan BBKSL Fasa 4 di Mukah, tumpuan diberikan kepada tanaman kelapa sawit sebagai antara usaha membantu petani meningkatkan pengeluaran hasil dan memperkukuh sumber pendapatan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, bantuan input pertanian berkenaan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi membantu meningkatkan hasil tanaman serta memberi manfaat kepada taraf kehidupan petani.
Katanya ditemui semasa penyerahan simbolik BBKSL Fasa 4 berlangsung di Stor Pejabat Pertanian Bahagian Mukah, di sini, pada Jumaat yang turut disaksikan oleh ADUN Tellian, Royston Valentine.
Sementara itu, Royston berkata, penyaluran bantuan tersebut dapat membantu petani meningkatkan pengeluaran hasil pertanian di kawasan Tellian dan Balingian.
Beliau turut menggalakkan petani serta kumpulan masing-masing mendaftarkan diri dalam sistem e-Tani bagi membantu Jabatan Pertanian menyelaras penyaluran bantuan dengan lebih berkesan, selain mengenal pasti keperluan dan permasalahan yang dihadapi petani.
Pendekatan tersebut membolehkan keperluan golongan petani dikenal pasti dengan lebih tersusun, sekali gus menyokong usaha memperkukuh sektor pertanian sebagai sumber pendapatan masyarakat di Mukah.-EDISI UKAS