KUCHING: Sarawak meneroka potensi kerjasama bagi memperkukuh pembangunan infrastruktur digital negeri termasuk dalam bidang pusat data, industri semikonduktor dan ‘fulfillment centres’ bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital serta perdagangan serantau.
Perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif ‘Malaysia Digital Economy Corporation’ (MDEC), Anuar Fariz Fadzil kepada Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, kunjungan berkenaan memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan ekosistem kondusif untuk pembangunan pusat data dan industri semikonduktor, dengan memastikan inisiatif berkenaan mampu memberikan manfaat nyata kepada ekonomi tempatan.
Keperluan mempertingkat infrastruktur digital khususnya di kawasan luar bandar turut menjadi antara perkara yang dibincangkan, memandangkan kemudahan tersebut penting bagi menyokong peluasan pelbagai inisiatif ekonomi digital di Sarawak.
Selain itu, peluang pembangunan pusat pemenuhan turut dikenal pasti berpotensi memperkukuh ekosistem e-dagang, khususnya dalam konteks perdagangan dan logistik di kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Menurut kenyataan yang sama, pertemuan itu turut menekankan kepentingan membangunkan rangka kerja digital yang kukuh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta melancarkan urusan perdagangan dan logistik dalam rantau BIMP-EAGA.
Usaha berkenaan membuka ruang kepada Sarawak untuk memperkukuh keupayaan infrastruktur digitalnya, di samping meneroka peluang baharu dalam sektor ekonomi digital yang mempunyai hubungan langsung dengan perdagangan, industri dan rantaian bekalan serantau.
Turut hadir ialah Eksekutif Kanan Pejabat Ekonomi Digital Serantau (RDEO) Malaysia Timur, Kimberly Wong, Pengarah RDEO, Raja Segaran, Ketua Pejabat RDEO Malaysia Timur, Awang Sapri Awang Ahmad dan Pengurus RDEO Malaysia Timur, Mohideen Abdul Kader. -EDISI UKAS