Penyertaan Wanita Sarawak Dalam PERANTIS Meningkat Kepada 15 Peserta
KUCHING: Penyertaan wanita Sarawak dalam Program Kepimpinan Wanita dan Pemimpin Akar Umbi Dayak Dalam Tadbir Urus, Pembuatan Keputusan dan Pembangunan Lestari (PERANTIS PTS 062) meningkat kepada 15 peserta tahun ini, berbanding hanya dua ketika program itu mula dilaksanakan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, berkata peningkatan berkenaan mencerminkan perkembangan positif dalam usaha memperluas penyertaan wanita Sarawak dalam pembangunan kepimpinan.
“Dengan bantuan Puan Hanani dan kumpulannya, kita dapat melihat daripada dua meningkat kepada lapan.
"Dan tahun ini, saya menyangka hanya 11, rupanya 15. Ini satu peningkatan yang besar," katanya ketika merasmikan PERANTIS PTS 062 di Dayak Chamber Tower, di sini, pada Jumaat.
Menurut Dato Sri Nancy, PERANTIS bukan sekadar program latihan, sebaliknya platform untuk menyediakan lebih ramai wanita menyertai barisan kepimpinan dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, organisasi masyarakat dan perkhidmatan awam.
Katanya, aspek utama yang perlu dibina ialah keupayaan wanita untuk memimpin, membuat keputusan dan memainkan peranan lebih besar dalam masyarakat, tanpa mengehadkan kepimpinan kepada bidang tertentu sahaja.
Beliau turut menekankan kepentingan membina keupayaan wanita untuk berdikari, termasuk melalui penguasaan kemahiran yang boleh diterjemahkan kepada peluang ekonomi serta menjana pendapatan untuk keluarga.
“Yang penting wanita boleh berdikari. Apabila anda mampu berdikari, itu adalah salah satu daripada modal yang diperlukan oleh anak-anak kita.
"Kita perlu melatih anak kita supaya mereka menjadi orang yang mempunyai kemahiran yang ada," ujarnya.
PERANTIS PTS 062 menghimpunkan 43 wanita pemimpin dan pemimpin akar umbi Dayak daripada pelbagai latar belakang termasuk ketua kaum, ketua masyarakat, ahli majlis, wanita yang terlibat dalam politik, guru, jururawat, pegawai kerajaan, pemimpin NGO dan pemimpin komuniti.
Program yang berlangsung dari 25 September hingga 7 November 2026 itu dilaksanakan menerusi tiga fasa, bermula dengan Kepimpinan Diri dan Kepimpinan Akar Umbi pada 25 hingga 26 September.
Ia diikuti Tadbir Urus, Akauntabiliti dan Komunikasi Kepimpinan pada 16 hingga 17 Oktober, sebelum Kepimpinan Komuniti dan Jaringan Strategik pada 6 hingga 7 November yang turut merangkumi pembangunan Pelan Tindakan Kepimpinan 90 Hari.
Pendekatan tersebut membolehkan peserta melalui proses pembangunan kepimpinan secara berperingkat, di samping menggabungkan mentoring dan refleksi bagi membantu menterjemahkan ilmu yang diperoleh kepada tindakan yang memberi manfaat kepada komuniti.
Dato Sri Nancy turut menggalakkan peserta menggunakan platform tersebut untuk menambah ilmu, membina keyakinan serta mengembangkan jaringan sebagai persediaan memikul tanggungjawab kepimpinan pada pelbagai peringkat.
Turut hadir Ketua Pengarah, Jabatan Pembangunan Wanita, Hanani Sapit, Timbalan Pengarah (Persekutuan), Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak, Mohd Ali Taib, Presiden Dayak Chamber of Commerce and Industry, Dato Allan Keripi Nangkai, serta Tokoh Kepimpinan Wanita Perantis 2026 selaku Pengarah Program PTS 062, Dr Florince Christy.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: Lonney Jinab & Douglas Demong