Regatta Subis@Niah 2026 Meriahkan Waterfront Sepupok Dengan Aksi Sukan Air
NIAH: Waterfront Sepupok Niah kembali berkocak dengan aksi sukan air apabila Program Regatta Subis@Niah 2026 membuka tirai pada Jumaat.
Dianjurkan Jawatankuasa Regatta Subis, program tiga hari bermula 25 hingga 27 September itu bukan sahaja mengetengahkan keunikan sukan air, malah menjadi platform menghimpunkan komuniti menerusi pelbagai aktiviti sepanjang penganjuran.
Antara acara yang dipertandingkan pada sesi pagi ialah Sambai Lelaki, 5HP Tunnel Boat, 8 Pekayuh Wanita (Pecut), 7.5HP Pump Ski dan 8 Pekayuh Belia Bawah 30 Tahun (Pecut).
Saingan diteruskan pada sesi petang menerusi acara 8 Pekayuh Lelaki (Pecut), 15HP Tunnel Boat, 8 Pekayuh Wanita (Pecut) dan 8 Pekayuh Belia Bawah 30 Tahun (Pecut), selain beberapa acara perlumbaan lain.
Kehadiran Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni memeriahkan lagi program apabila beliau meluangkan masa menyaksikan pertandingan serta beramah mesra bersama penduduk dan pengunjung.
Sambutan menggalakkan dapat dilihat sepanjang berlangsungnya pertandingan apabila orang ramai memenuhi kawasan Waterfront Sepupok Niah untuk menyaksikan aksi peserta yang memberikan saingan sengit dalam setiap acara.
Selain pertandingan sukan air, pengunjung turut berpeluang mengunjungi gerai jualan dan pameran agensi terlibat yang disediakan sepanjang program.
Kemuncak pengisian hari pertama bakal berlangsung pada sebelah malam di Dewan Terbuka Sepupok Niah menerusi Pentas Rakyat yang menampilkan persembahan artis popular tanah air dan artis tempatan.
Program turut diserikan dengan pertandingan karaoke peringkat akhir, cabutan bertuah serta Pertandingan Ratu Regatta Subis@Niah 2026 yang menampilkan 12 peserta.
Regatta Subis@Niah 2026 menjanjikan pelbagai aktiviti menarik bagi memeriahkan suasana sekali gus memberi ruang kepada masyarakat setempat dan pengunjung menikmati acara komuniti berteraskan sukan, hiburan dan keusahawanan. -EDISI UKAS