Komuniti Agama Diposisikan Sebagai Rakan Pembangunan Sarawak
KUCHING: Komuniti agama di Sarawak turut dilihat sebagai rakan penting dalam merealisasikan pembangunan negeri, khususnya dalam membentuk masyarakat yang inklusif, berdaya tahan dan mempunyai nilai kemasyarakatan yang kukuh.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bukan hanya memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, infrastruktur moden dan kemajuan teknologi, sebaliknya turut menekankan pembangunan manusia serta penglibatan setiap komuniti dalam membentuk masa depan negeri.
“Visi kita bukan sahaja untuk mewujudkan ekonomi yang maju tetapi juga membina sebuah masyarakat inklusif yang memberi peluang kepada setiap komuniti untuk berkembang dan menyumbang kepada masa depan bersama.
“Untuk mencapai visi ini, kita semua perlu bekerjasama, termasuk kerajaan, masyarakat sivil, organisasi keagamaan dan setiap rakyat,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-75 Komuniti Bahá’í Sarawak di sini, pada Jumaat.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi turut berkenan menghadiri majlis berkenaan.
Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari, Komuniti Bahá’í Sarawak sendiri telah memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat sepanjang 75 tahun kewujudannya, khususnya menerusi penekanan terhadap pendidikan, pembangunan moral, pembinaan komuniti dan khidmat kepada masyarakat.
Ujar beliau, peranan tersebut menunjukkan bahawa sumbangan komuniti agama tidak terhad kepada aspek keagamaan semata-mata, malah turut mempunyai kaitan langsung dengan usaha membangunkan masyarakat yang lebih prihatin dan bertanggungjawab.
“Melalui penekanan terhadap pendidikan, pembangunan moral, pembinaan komuniti dan khidmat kepada manusia, anda telah memberikan sumbangan bermakna dalam membina komuniti yang lebih kuat dan prihatin di seluruh negeri kita,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau berkata setiap komuniti agama mempunyai peranan tersendiri dalam membentuk masyarakat yang penyayang, berdaya tahan dan bersatu, selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak yang menekankan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. -EDISI UKAS