Sarawakku Sayang Betong Perkasa Akses Maklumat Pendidikan Dan Keusahawanan
BETONG: Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Betong 2026 memberi manfaat kepada pelbagai golongan termasuk belia, pelajar dan peniaga menerusi pendedahan kepada peluang pendidikan, pembangunan serta ruang pasaran.
Bagi golongan belia, program berkenaan dilihat sebagai platform untuk mendapatkan maklumat berkaitan peluang pendidikan percuma yang disediakan Kerajaan Sarawak menerusi inisiatif Free Tertiary Education Scheme (FTES).
Penolong Jurutera, Jenny Lynn, berkata penyertaan dalam program tersebut membolehkan belia mengetahui dengan lebih lanjut bidang pengajian serta kursus yang ditawarkan di bawah inisiatif pendidikan percuma berkenaan.
Menurutnya, pendedahan sedemikian membantu golongan belia membuat pilihan berdasarkan bidang yang diminati serta peluang pendidikan yang tersedia di Sarawak.
Sementara itu, Penolong Jurutera, Shajidah Suhai, berkata program berkenaan turut memberi peluang kepada belia untuk mengetahui perkembangan pembangunan khususnya di Bahagian Betong, selain mendapatkan maklumat mengenai peranan dan perkhidmatan yang disediakan agensi-agensi kerajaan.
Bagi pelajar Kolej Vokasional Betong, Desmond Nawi, Program Sarawakku Sayang turut membantu dirinya mendapatkan maklumat berkaitan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, termasuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi seperti Swinburne University of Technology Sarawak, i-CATS University College dan Curtin University Malaysia.
Katanya, maklumat berkaitan syarat kemasukan, bidang pengajian serta bantuan pendidikan Kerajaan Sarawak membolehkannya merancang hala tuju pendidikan selepas tamat diploma, khususnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.
Dalam pada itu, peniaga, Mohd Faiz Ikmal, berkata penyertaan dalam program tersebut membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk serta meluaskan pasaran menerusi ruang jualan seperti Betong Kitchen & Sales.
Beliau berkata pengalaman menyertai program berkenaan turut memberi peluang kepada peniaga mempelajari kaedah menarik pelanggan dengan lebih teratur sekali gus berpotensi membantu meningkatkan pendapatan perniagaan.
Program SKS Bahagian Betong 2026 berlangsung dengan meriahnya mulai hari ini dengan pelbagai aktiviti antaranya Betong Kitchen & Sales, Perasmian Sarawak Pavilion, Pameran Utama dan Kaunter Perkhidmatan serta Pendaftaran e-Peraduan.
Selain itu, Konsert Malam Budaya Sarawak yang berlangsung di Kompleks Sukan Betong pada malam program SKS pada Jumaat turut menjadi antara pengisian yang bakal menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar Betong.-EDISI UKAS