BETONG: Raptai penuh bagi Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Betong 2026 berlangsung lancar sebagai persiapan akhir menjelang acara rasmi yang dijadualkan berlangsung esok.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee telah hadir meninjau raptai penuh tersebut bagi memastikan semua aspek pelaksanaan termasuk atur cara, logistik dan teknikal berada pada tahap terbaik.
Secara keseluruhannya, raptai berkenaan menunjukkan tahap kesiapsiagaan yang tinggi dengan penyelarasan antara agensi terlibat berjalan teratur dan sistematik.
Kelancaran raptai ini mencerminkan komitmen penganjur dalam memastikan majlis perasmian SKS Betong 2026 dapat dilaksanakan dengan sempurna, sekali gus memperkukuh imej Sarawak sebagai destinasi penganjuran acara berskala besar.
Perasmian SKS Betong dijadual disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg esok. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Eisner Nala
Foto: George S. Embie