STOLport Bebuling Berpotensi Jadi Pemangkin Baharu Ekonomi Betong
BETONG: Pembinaan STOLport Bebuling, Spaoh berpotensi menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi Betong menerusi peningkatan hubungan pengangkutan, pemasaran produk tempatan serta peluang penjanaan pendapatan masyarakat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kemudahan berkenaan berpotensi memperluas hubungan Betong dengan kawasan lain, selain membuka ruang kepada produk tempatan menembusi pasaran di luar bahagian.
Menurut beliau, STOLport Bebuling bukan sahaja berpotensi membawa barangan tempatan ke luar Betong, malah boleh menyokong pergerakan penumpang, sekali gus meningkatkan keterhubungan kawasan berkenaan.
“STOLport Bebuling bukan sahaja berpotensi membawa barangan tempatan ke luar Betong, malah turut mempunyai potensi untuk membawa penumpang, sekali gus meningkatkan hubungan antara Betong dengan kawasan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong 2026 di Kompleks Sukan Betong, di sini, pada Jumaat.
Datuk Amar Douglas berkata, kekuatan ekonomi Betong turut disokong oleh kegiatan pertanian masyarakat setempat, khususnya penanaman lada dan kelapa sawit yang menjadi antara sumber ekonomi penting kawasan berkenaan.
Katanya, walaupun Betong tidak mempunyai sumber mineral dan petroleum, masyarakat yang aktif dalam kegiatan pertanian merupakan aset penting dalam memperkukuh sosioekonomi setempat.
Dalam masa sama, beliau berkata Betong mempunyai potensi pelancongan berasaskan sejarah yang boleh dikembangkan bagi menarik lebih ramai pengunjung dari luar bahagian.
Antara lokasi yang boleh diketengahkan ialah Kubu Lily berhampiran Kompleks Sukan Betong serta replika Kubu Rentap yang sedang dibangunkan di Bukit Sadok.
Menurutnya, sejarah perjuangan Rentap yang menentang pemerintahan Brooke di Bukit Sadok merupakan sebahagian daripada identiti Betong yang boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan sejarah.
Mengenai Program SKS Bahagian Betong, beliau berkata, ia platform berguna kepada masyarakat dan pengunjung untuk mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan kerajaan, selain mengetengahkan produk, kemahiran dan potensi ekonomi tempatan.
Dalam lawatan tersebut, Datuk Amar Douglas turut meninjau gerai jualan Betong Kitchen & Sales bagi melihat produk dan hasil tempatan yang diketengahkan, selain menyempurnakan penyerahan sijil penyertaan kepada 15 peserta Demonstrasi Anyaman Bakul.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program Sarawakku Sayang 2026 (Zon Tengah), Datu Hii Chang Kee, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong dan Timbalan Residen Bahagian Betong, Muhammad Nizam Wang.-EDISI UKAS