Program Sarawakku Sayang Platform Lonjak Potensi Ekonomi Betong
BETONG: Penganjuran Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Betong 2026 menjadi platform penting dalam memperkenalkan potensi ekonomi, pelancongan serta produk tempatan kepada masyarakat setempat dan pengunjung dari luar bahagian.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penganjuran program berkenaan mampu membuka lebih banyak ruang kepada pelancong dari luar untuk berkunjung ke Betong, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Menurut beliau, Betong mempunyai pelbagai lokasi menarik yang berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan berasaskan sejarah, antaranya Kubu Lily yang terletak berhampiran Kompleks Sukan Betong serta replika Kubu Rentap yang sedang dibangunkan di Bukit Sadok.
“Rentap merupakan pahlawan Iban yang menentang pemerintahan Brooke di Bukit Sadok dan kisah perjuangan beliau merupakan sebahagian daripada identiti Betong dalam konteks pelancongan berasaskan sejarah.
“Pada masa akan datang, Betong berpotensi menjadi destinasi yang lebih meriah dengan pelbagai lokasi menarik serta produk tempatan yang boleh diketengahkan,” katanya ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan ke Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Betong 2026 di Kompleks Sukan Betong, Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata pembinaan STOLport Bebuling, Spaoh berpotensi menjadi pemangkin baharu kepada prestasi ekonomi masyarakat Betong melalui peningkatan peluang penjanaan pendapatan dan pemasaran produk tempatan.
“STOLport Bebuling bukan sahaja berpotensi membawa barangan tempatan ke luar Betong, malah turut mempunyai potensi untuk membawa penumpang, sekali gus meningkatkan hubungan antara Betong dengan kawasan lain,” katanya.
Semasa menyentuh mengenai aktiviti ekonomi masyarakat tempatan, beliau mengatakan walaupun Betong tidak mempunyai sumber mineral dan petroleum, kekuatan masyarakat setempat yang aktif dalam sektor pertanian khususnya penanaman lada dan kelapa sawit merupakan aset penting dalam memperkukuh sosioekonomi kawasan tersebut.
“Kekuatan kita di Betong ialah masyarakat yang rajin bekerja dan aktif dalam kegiatan ekonomi, khususnya dalam sektor pertanian. Inilah yang menjadi kekuatan masyarakat kita dalam meningkatkan kualiti sosioekonomi setempat,” katanya.
Dalam lawatan tersebut, Datuk Amar Douglas turut menyantuni para peniaga di gerai-gerai jualan Betong Kitchen & Sales sambil melihat sendiri pelbagai produk dan hasil jualan yang diketengahkan sempena program berkenaan.
Beliau kemudiannya menyempurnakan majlis penyerahan sijil penyertaan kepada 15 peserta yang mengikuti Demonstrasi Anyaman Bakul sempena Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Betong 2026.
Penganjuran program berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan kerajaan, malah menjadi platform untuk mengetengahkan produk, kemahiran serta potensi ekonomi tempatan kepada pengunjung.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program Sarawakku Sayang 2026 (Zon Tengah) Datu Hii Chang Kee, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong dan Timbalan Residen Bahagian Betong, Muhammad Nizam Wang.-EDISI UKAS