Sesi Santai Pickleball Galak Gaya Hidup Sihat Warga Perkhidmatan Awam Sarawak
BETONG: Sesi Santai Pickleball sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong menjadi wadah mengeratkan silaturahim, memperkukuh semangat kebersamaan serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Perkhidmatan Awam Sarawak.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan isteri Dato Baduyah Bujang turut meluangkan masa menyertai sesi yang berlangsung di Gelanggang Pickleball Pejabat Daerah Betong pada Jumaat.
Penganjuran aktiviti sukan secara santai itu membuka ruang kepada pegawai dan kakitangan untuk berinteraksi dalam suasana lebih mesra, sekali gus mengukuhkan hubungan serta semangat berpasukan dalam persekitaran kerja.
Turut hadir, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU), Datu Ir Ts Awang Mohd Fadillah Awang Redzuan, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Timbalan Residen Betong, Mohammad Nizam Wang, Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh dan isteri kepada Datuk Gerald Rentap Jabu.
Pada sesi berkenaan, turut diadakan penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan kepada wakil yang terlibat.
Sesi Santai Pickleball merupakan antara pengisian SKS Bahagian Betong yang bukan sahaja menggalakkan kecergasan fizikal, malah memperkukuh hubungan serta semangat kekitaan dalam kalangan warga Perkhidmatan Awam Sarawak. -EDISI UKAS