Kerajaan Sarawak Salur RM1.35 Juta Bantu Mangsa Bencana
KUCHING: Kerajaan Sarawak telah membelanjakan RM1.35 juta bagi membantu mangsa bencana di seluruh negeri sepanjang 2026.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perbelanjaan itu melibatkan bantuan kepada mangsa ribut, kebakaran, tanah runtuh, banjir dan kemarau.
“Seboleh-bolehnya apabila berlaku musibah, kita akan beri bantuan segera seperti makanan. Selepas itu, kita ambil profil mangsa termasuk jumlah ahli keluarga, ketua isi rumah dan umur. Daripada maklumat tersebut, kita akan lihat bantuan yang diperlukan oleh setiap mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Bencana Ribut Kuching Tahun 2026 yang disampaikan kepada 20 wakil penerima di Wisma Kebajikan, di sini, pada Jumaat.
Dato Sri Fatimah memaklumkan, kes ribut mencatatkan 104 kes melibatkan 119 ketua isi rumah (KIR) dan 378 mangsa dengan jumlah bantuan RM205,700, manakala kebakaran merekodkan 92 kes melibatkan 95 KIR dan 422 mangsa dengan perbelanjaan RM636,300.
Tanah runtuh pula melibatkan 12 kes membabitkan 12 KIR dan 59 mangsa dengan bantuan RM36,300, sementara banjir mencatatkan 14 kes melibatkan 446 KIR dan 1,714 mangsa dengan perbelanjaan RM331,710.
Bagi kemarau, sebanyak 36 kes direkodkan melibatkan 1,402 KIR dan 5,149 mangsa dengan jumlah bantuan RM143,173.40.
Menurutnya, bantuan yang disalurkan merangkumi bantuan segera, makanan kering, pakaian sekolah, pakaian harian, kelengkapan tidur, bantuan perniagaan kecil serta bahan binaan bergantung kepada jenis bencana dan keperluan mangsa.
Turut hadir, Pengarah JKM Sarawak Semawi Mohamad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching Pengiran Mohamad Najib Pengiran Mohamad serta Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial Sarawak Riziandy Nawawi.-EDISI UKAS