Kerajaan Sarawak Lulus Pelanjutan 100 Petugas JKM Selama Dua Tahun
KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan pelanjutan tempoh perkhidmatan 100 petugas kebajikan di Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) bagi tempoh dua tahun.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perkara itu diluluskan semasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Khamis.
Menurut beliau, pelanjutan berkenaan diperlukan bagi membantu JKMS mengurus pelbagai kes kebajikan termasuk pengurusan bantuan bencana di seluruh negeri.
“Ini adalah pelanjutan. Sebelum ini, kita dah ambil 100 orang untuk membantu JKM bagi bersama dalam kes-kes musibah dan juga mengurus perkara-perkara lain yang diurus oleh pihak JKM.
“Kami mahu Kabinet untuk luluskan supaya dilanjutkan lagi kerana tempoh mereka akan berakhir pada 31 Disember 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Bencana Ribut Kuching Tahun 2026 yang disampaikan kepada 20 wakil penerima di Wisma Kebajikan, di sini, pada Jumaat.
Menjelas lanjut, Dato Sri Fatimah berkata, petugas berkenaan akan turut membantu dalam pelaksanaan insiaitif kebajikan kerajaan negeri termasuk Kenyalang Gold Card (KGC) serta penerima bantuan bulanan di seluruh Sarawak.
Ujarnya, sebanyak 57,211 penerima bantuan bulanan direkodkan di seluruh Sarawak, melibatkan bantuan kepada kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit terlantar.
Turut hadir, Pengarah JKM Sarawak Semawi Mohamad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching Pengiran Mohamad Najib Pengiran Mohamad serta Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial Sarawak Riziandy Nawawi.-EDISI UKAS