TYT Sarawak & Isteri Berkenan Menghadiri Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-75 Komuniti Bahá’í Sarawak
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menghadiri Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-75 Komuniti Bahá’í Sarawak di sini, pada Jumaat.
Majlis itu menjadi wadah bagi meraikan perjalanan 75 tahun penubuhan dan perkembangan komuniti Bahá’í di Sarawak, selain menghimpunkan para anggota komuniti serta tetamu jemputan dalam suasana penuh muhibah.
Ketibaan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah pada jam 8 malam disambut oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian yang mewakili Premier Sarawak dan Pengerusi Perhimpunan Rohani Bahá'í Sarawak Dr Shehab Phung Chee Wei.
Turut hadir, Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Dato Georgina Apphia Ngau.
Kehadiran pasangan kenamaan pada majlis berkenaan turut mencerminkan perhatian serta penghargaan terhadap sumbangan pelbagai komuniti dalam memperkukuh keharmonian, persefahaman dan semangat hidup bersama yang menjadi antara kekuatan utama masyarakat Sarawak.
Sambutan ulang tahun tersebut turut menjadi ruang untuk mengenang perjalanan komuniti Bahá’í di Sarawak sejak 75 tahun lalu, termasuk sumbangan anggotanya dalam kehidupan bermasyarakat serta usaha memperkukuh nilai perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Sarawak sememangnya dikenali dengan kepelbagaian masyarakat, budaya dan kepercayaan yang hidup secara harmoni, dengan semangat saling menghormati serta menerima perbezaan menjadi asas penting dalam membentuk sebuah masyarakat yang inklusif.
Kehadiran Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah pada majlis berkenaan turut memberikan makna tersendiri kepada sambutan ulang tahun tersebut yang menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang komuniti Bahá’í di Sarawak. -EDISI UKAS