Busana Pelbagai Etnik Warnai Senam Santai Karnival Jom Heboh Miri
MIRI: Peragaan pakaian tradisional pelbagai etnik mencuri perhatian hari pertama Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai 2026 di Boulevard, Miri pada Jumaat.
Beberapa peserta mengenakan busana tradisional ketika menyertai Senam Santai Bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekali gus menampilkan kepelbagaian budaya yang menjadi identiti Miri.
Menurut jurucakap penganjur, kira-kira 50 peserta menyertai acara di pentas utama itu yang bermula sekitar jam 8.30 pagi tadi.
“Petang ini, pengunjung boleh menyaksikan Buletin Challenge di Studio Tonton Drama Sangat pada jam 4 petang, diikuti Jom Lokal Jam di pentas utama pada jam 9 malam,” katanya.
Karnival Jom Heboh kembali ke Miri selepas penganjuran sulungnya 19 tahun lalu dan berlangsung hingga Ahad ini.
Karnival itu mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dengan pelbagai pameran dan aktiviti interaktif oleh agensi di bawah kementerian berkenaan.
Lebih 160 reruai mengambil bahagian, termasuk reruai Media Prima, agensi di bawah MTCP dan usahawan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED).
Antara yang turut serta ialah Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), AFFIN Bank, F&N, Caring Pharmacy, Fearnleaf dan Bursa Malaysia.
Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai pilihan makanan di kawasan karnival.
Selain itu, mereka juga boleh mengikuti pelbagai aktiviti sepanjang tiga hari untuk pelbagai peringkat usia, seperti Pertunjukan Ratu Etnik, Pertandingan Karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge serta sesi Meet and Greet bersama barisan pelakon drama TV3 seperti Muaz Zabir, Daniel Fong, Nafiz Muaz, Jazmy Juma, Shamim Freida dan Amzar Airil.
Konsert Jom Heboh Cara U pula dijadual berlangsung pada malam Sabtu dan Ahad, manakala Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menawarkan kategori larian 5 dan 8 kilometer. -EDISI UKAS