Buku Khazanah Intelektual, Rekod Identiti Dan Sejarah Sarawak
KUCHING: Buku merupakan khazanah intelektual Sarawak yang mampu merakam sejarah, budaya, pengalaman masyarakat serta pemikiran sesuatu zaman untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, setiap buku yang diterbitkan meninggalkan rekod tentang kehidupan dan pemikiran masyarakat pada sesuatu zaman sekali gus membolehkan pengalaman, pemikiran dan pengetahuan seseorang penulis terus hidup walaupun penulisnya tidak lagi bersama masyarakat.
“Dalam konteks Sarawak, perkara ini amat penting kerana wilayah kita mempunyai sejarah, budaya, masyarakat dan pengalaman pembangunan yang begitu unik.
“Banyak daripadanya hanya dapat difahami dengan mendalam apabila ia direkodkan, dikaji dan diterbitkan secara bertanggungjawab.
“Sebab itu, kita perlu memastikan kisah Sarawak ditulis dari perspektif Sarawak sendiri di mana sejarah kita perlu didokumentasikan, budaya kita perlu dirakamkan dan pengalaman masyarakat kita perlu diangkat supaya generasi akan datang memahami perjalanan yang telah kita lalui,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam Majlis Penyampaian Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak 2024/2025 di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Jumaat.
Datuk Patinggi Abang Zohari berharap generasi muda bukan sahaja menjadi pengguna kandungan, tetapi turut tampil sebagai pencipta ilmu, penulis, penyelidik dan pendokumentasi kepada masyarakat mereka sendiri walaupun tidak bermula sebagai penulis profesional.
Menurutnya, masih banyak kisah Sarawak yang belum ditulis, sisi sejarah Sarawak yang belum dirakam serta masih banyak ilmu, kearifan dan kebitaraan masyarakat yang masih belum diteroka dan menunggu untuk dibukukan.
“Kita mempunyai kisah masyarakat peribumi, sejarah pembangunan, pengalaman migrasi, warisan budaya, bahasa, kesenian, ekonomi, alam sekitar serta pelbagai pengalaman kehidupan yang mempunyai nilai tersendiri.
“Semua ini adalah sebahagian daripada identiti Sarawak yang perlu kita pelihara melalui dokumentasi yang baik,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, buku berjudul ‘Etnik Bidayuh Dan Bale Gambang – Baruk: Identiti, Tradisi dan Perubahan’ tulisan penulis Charlie Ungang dan Awang Azman Awang Pawi yang diterbitkan pada tahun 2024 menerima Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak 2024/2025 bagi kategori Terbitan Penerbit Luar sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.
Manakala, Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak 2024/2025 bagi kategori Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka telah diterima oleh penulis Izzah Abdul Hamid @ Ghazali dan Wan Asrina Wan Yahya dengan judul buku bertajuk ‘Lada Hitam: Permata Sarawak’ yang turut diterbitkan pada tahun 2024 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000. -EDISI UKAS