Projek Jaya Tani Kopi Perkasa Ekonomi Komuniti DUN Opar
LUNDU: Projek Jaya Tani AFF Tanaman Kopi menjadi antara usaha memperluas peluang ekonomi berasaskan pertanian kepada masyarakat luar bandar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, projek berkenaan melibatkan 31 peserta dengan keluasan tanaman kira-kira 30 hektar, sekali gus mempunyai potensi untuk dikembangkan sebagai salah satu aktiviti ekonomi komuniti setempat.
Menurutnya, kursus pengurusan dan cantasan pokok kopi yang dianjurkan penting bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran peserta dalam mengurus tanaman supaya dapat berkembang dengan baik dan menghasilkan buah berkualiti.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Kursus Pengurusan dan Cantasan Pokok Kopi Projek Jaya Tani AFF Tanaman Kopi di Pejabat Estate SALCRA Stenggang, pada Sabtu.
Beliau turut menggalakkan peserta dari Kampung Stenggang, Kampung Pidilam dan Kampung Sepadah supaya memberi perhatian terhadap penyelenggaraan kebun bagi memastikan potensi tanaman dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Dalam pada itu, beliau berkata potensi sektor pertanian di DUN Opar masih luas dan boleh dikembangkan menerusi pelaksanaan pelbagai projek ekonomi seperti tanaman cili secara fertigasi, terung, timun serta tanaman bernilai komersial lain.
Beliau turut menyuarakan aspirasi untuk melihat DUN Opar muncul sebagai antara kawasan pembekal kopi, selain mewujudkan rantaian industri yang boleh disokong dengan kemudahan pemprosesan di kawasan lain pada masa hadapan.
Tambahnya, perancangan pembangunan sektor pertanian perlu diteruskan secara tersusun dengan kerjasama Jabatan Pertanian Daerah Lundu dan Jabatan Pertanian Daerah Bau bagi memastikan lebih banyak peluang ekonomi dapat diwujudkan kepada masyarakat setempat. -EDISI UKAS