Kampung Baru Perkukuh Kesedaran, Cegah Pembuangan Sampah Ke Sungai
BINTULU: Kesedaran masyarakat Kampung Baru terhadap kebersihan persekitaran, khususnya keperluan mencegah pembuangan sampah ke sungai terus diperkukuh menerusi penglibatan aktif komuniti dalam program gotong-royong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, perubahan sikap masyarakat terhadap kebersihan semakin ketara apabila komuniti setempat menunjukkan komitmen menjaga kawasan kampung dan persekitaran mereka.
Menurutnya, kemudahan pengurusan sisa yang disediakan pihak Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan sampah tidak dibuang sewenang-wenangnya, khususnya ke dalam sungai.
“Yang paling penting, jangan buang sampah ke dalam sungai kerana pihak Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) telah menyediakan kemudahan seperti tong sampah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Gotong-Royong Sempena Hari Cuci Malaysia 2026 Peringkat Bahagian Bintulu, pada Sabtu.
Iskandar berkata, sekiranya kemudahan tong sampah sedia ada tidak mencukupi, masyarakat boleh berhubung dengan BDA untuk memaklumkan keperluan tambahan bagi memastikan pengurusan sisa di kawasan kampung dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Dalam masa sama, beliau menggalakkan lebih banyak pihak industri melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk program kebersihan bersama komuniti.
Katanya, kerjasama berterusan antara masyarakat, agensi kerajaan dan sektor industri penting bagi menyokong usaha menjaga kebersihan serta kelestarian alam sekitar.
Program anjuran BDA dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu itu disertai kira-kira 200 peserta, sekali gus mencerminkan penglibatan komuniti dalam usaha membudayakan amalan kebersihan di peringkat akar umbi.
Hari Cuci Malaysia merupakan inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membudayakan amalan kebersihan serta menggalakkan penglibatan masyarakat secara menyeluruh dalam penjagaan persekitaran. -EDISI UKAS