Pelajar Sebako Digesa Kejar Kecemerlangan Pendidikan
LUNDU: Pendidikan perlu terus dijadikan landasan utama dalam membentuk masa depan generasi muda, sekali gus menjadi agen perubahan yang mampu meningkatkan taraf kehidupan individu, keluarga dan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, kejayaan dalam pendidikan memerlukan disiplin, pengorbanan serta kesungguhan yang tinggi daripada setiap pelajar.
Menurut beliau, golongan muda khususnya pelajar perlu berani mencuba dan tidak gentar menerokai bidang yang mencabar termasuk Sains dan Matematik kerana bidang berkenaan mampu membuka lebih banyak peluang pada masa hadapan.
Beliau turut mengingatkan para pelajar bahawa masa depan sesebuah komuniti banyak bergantung kepada generasi muda yang berilmu serta mempunyai sahsiah dan pegangan agama yang kukuh.
“Dengan ilmu, seseorang mampu mengubah kehidupan dan membina masa depan yang lebih baik. Sebab itu pendidikan harus sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Motivasi dan Pemberkatan Calon UPDL, SPM dan STPM 2026 Kampung Sebako pada Jumaat.
Billy turut menggalakkan pelajar untuk memberikan perhatian kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selaras dengan usaha Sarawak menuju ke arah sebuah negeri maju.
Dalam masa sama, beliau menyeru ibu bapa agar sentiasa memantau tingkah laku anak-anak selain memastikan mereka tidak terjerumus dalam gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah dan perjudian.
Beliau turut mencadangkan agar graduan serta individu berjaya dari Kampung Sebako dikumpulkan dari semasa ke semasa untuk berkongsi pengalaman dan menjadi sumber inspirasi kepada pelajar.
Program anjuran Biro Wanita Kampung Sebako 1 itu melibatkan 31 pelajar terdiri daripada 18 murid Tahun Enam, 11 pelajar Tingkatan Lima dan dua pelajar Tingkatan Enam. -EDISI UKAS