Aktiviti Perniagaan, Pelancongan Pacu Ekonomi Limbang
LIMBANG: Aktiviti perniagaan, pelancongan dan penganjuran acara terus membuka ruang penjanaan pendapatan kepada masyarakat Limbang, dengan limpahan ekonomi turut dirasai sektor perhotelan, makanan dan perkhidmatan.
Pengerusi Majlis Daerah Limbang (MDL), Sufian Mohat berkata, perkembangan aktiviti perniagaan di Limbang menunjukkan potensi ekonomi yang semakin berkembang, termasuk menerusi peningkatan permohonan lesen perniagaan selepas pandemik COVID-19.
Menurutnya, pelaksanaan Tamu Khamis Jumaat, Tamu Ikan dan Pasar Tani turut memberi lebih banyak ruang kepada masyarakat untuk menjalankan aktiviti perniagaan.
“Ini menunjukkan aktiviti perniagaan, sektor pelancongan dan penganjuran pelbagai program memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi, bukan sahaja kepada peniaga, malah sektor perhotelan, makanan dan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Gala Apresiasi Majlis Daerah Limbang 2026, di sini pada Jumaat.
Sufian berkata, penganjuran Pesta Limbang turut membuktikan potensi acara tempatan dalam merancakkan ekonomi apabila seorang peniaga makanan dilaporkan mampu memperoleh pendapatan melebihi RM20,000 sehari sepanjang berlangsungnya acara berkenaan.
Katanya, keadaan itu menggambarkan bagaimana kehadiran pengunjung dalam jumlah besar mampu meningkatkan permintaan terhadap makanan, barangan serta perkhidmatan tempatan dan seterusnya memberi manfaat langsung kepada komuniti perniagaan.
Dalam masa sama, beliau berkata kedudukan Limbang yang bersempadan dengan Brunei Darussalam turut menyumbang kepada pergerakan ekonomi daerah, termasuk memberi manfaat kepada sektor perkhidmatan dan aktiviti perniagaan setempat.
Sufian berkata, pembangunan infrastruktur turut perlu bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi, termasuk Limbang Waterfront yang kini mempunyai panjang keseluruhan 1.8 kilometer.
Menurutnya, pembangunan waterfront berkenaan berkembang daripada Fasa 1 kepada Fasa 2 dan Fasa 3 hasil perancangan serta sokongan kepimpinan negeri.
Malam Gala Apresiasi MDL 2026 turut menjadi platform menghargai sumbangan warga MDL, rakan strategik dan pemain ekonomi tempatan menerusi penyampaian pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Pembayar Cukai Teladan, Anugerah Peniaga Cemerlang, Anugerah Kontraktor Terbaik 2026 serta Anugerah Restoran dan Salon Ikon Limbang. -EDISI UKAS