Kesiapsiagaan Masyarakat Hadapi Kebakaran Perlu Diperkasa
MIRI: Kesiapsiagaan masyarakat menghadapi kebakaran dan situasi kecemasan perlu terus diperkasa menerusi pengetahuan serta latihan keselamatan bagi memastikan orang ramai mampu bertindak dengan betul apabila berdepan insiden tidak dijangka.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, keselamatan kebakaran tidak boleh dipandang ringan kerana persediaan dan pengetahuan yang betul berupaya membantu menyelamatkan nyawa ketika kecemasan.
“Keselamatan adalah tanggungjawab kita bersama. Setiap orang mempunyai peranan untuk mencegah kemalangan dan menjaga keselamatan diri serta orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri ‘Fire Safety & Health Awareness Course’ anjuran READERS dan Persatuan Pengedar Kenderaan Miri (PPKM) di Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng, pada Sabtu.
Program berkenaan disertai 115 peserta dan memberi pendedahan kepada peserta mengenai asas keselamatan kebakaran serta tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan.
Adam berkata, pengisian program tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai pendedahan kepada penggunaan alat pemadam api, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk membentuk budaya keselamatan yang boleh diamalkan di tempat kerja, rumah dan komuniti.
Beliau turut menggalakkan peserta mengambil bahagian secara aktif dalam sesi yang dikendalikan pihak Bomba, termasuk mengemukakan soalan dan mendapatkan kefahaman yang tepat mengenai tindakan ketika berdepan kebakaran.
Menurutnya, ilmu yang diperoleh juga perlu dikongsi bersama keluarga, rakan sekerja dan masyarakat supaya pengetahuan asas keselamatan dapat diperluaskan kepada lebih ramai individu. -EDISI UKAS