RM330,000 Naik Taraf Jalan Pertanian Kopul, Perkukuh Akses Petani Kampung Stenggang
BAU: Kemudahan infrastruktur pertanian di Kampung Stenggang dipertingkat menerusi Projek Naik Taraf Jalan Pertanian Kopul yang melibatkan peruntukan RM330,000.
Projek berkenaan dibiayai menerusi peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Jabatan Pertanian Daerah Bau sebagai agensi pelaksana, melibatkan jalan pertanian sepanjang 1.6 kilometer.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang turut hadir meninjau projek berkenaan pada Jumaat.
Pelaksanaan projek berkenaan memberi kemudahan kepada komuniti tani setempat menerusi laluan yang lebih baik ke kawasan pertanian, selain membantu melancarkan pergerakan penduduk dan pengangkutan hasil pertanian.
Kemudahan jalan pertanian yang lebih baik turut penting dalam menyokong perkembangan aktiviti pertanian luar bandar, khususnya dengan meningkatkan tahap ketersambungan antara kawasan kebun dan penempatan penduduk.
Usaha menaik taraf infrastruktur seperti ini menjadi antara langkah penting dalam memastikan sektor pertanian luar bandar terus mendapat sokongan kemudahan asas yang diperlukan bagi meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan komuniti tani. -EDISI UKAS