Pesta Limbang 2026 Jana Hampir RM1 Juta Untuk Peniaga Tempatan
LIMBANG: Pesta Limbang 2026 membuktikan acara berskala besar mampu menjadi pemangkin ekonomi setempat apabila menarik kira-kira 30,000 pengunjung sepanjang lima hari dan menjana pendapatan hampir RM1 juta kepada peniaga tempatan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, penganjuran program dan festival secara berterusan perlu diperkasa bagi meningkatkan tarikan pelancongan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
“Sejak penubuhan Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang pada 2016, pelbagai program telah dilaksanakan dan kini kita mempunyai sebanyak 16 acara tahunan,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Amal 55 Tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) Limbang, pada Jumaat.
Antara program berkenaan ialah Pesta Medamit, Hari Belia, Limbang Motor Day dan Larian Limbang yang turut melibatkan penyertaan serta kerjasama komuniti tempatan.
Menurut beliau, Northern Region Music Festival (NRMF) juga mempunyai potensi besar sebagai tarikan acara dan pelancongan di Limbang, dengan penganjuran edisi 2027 dijangka memerlukan peruntukan sekitar RM300,000 berbanding antara RM120,000 hingga RM150,000 sebelum ini.
Sehubungan itu, Majlis Malam Amal 55 Tahun RTM Limbang turut menjadi platform pengumpulan dana bagi menyokong penganjuran NRMF 2027.
Datuk Dr Abdul Rahman menyeru agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta untuk terus menyokong penganjuran program komuniti yang mampu merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta memperkukuh sektor pelancongan Limbang.
Hadir sama, ADUN Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Pandang Semat dan Pengurus Stesen RTM Limbang Idzham Hadi Sidik. -EDISI UKAS