Kerajaan Sarawak Hargai Peranan KMKK Sebagai Penghubung Kerajaan Dan Rakyat
BETONG: Kerajaan Sarawak terus menghargai peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebagai penghubung penting antara kerajaan dengan rakyat dalam memastikan dasar, program serta agenda pembangunan negeri dapat disampaikan hingga ke peringkat akar umbi.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi bin Sitam ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Makan Tengah Hari Pemimpin Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Sempena Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Betong 2026 di Dewan Panglima Rentap, Sabtu.
Menurut beliau, kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada majlis berkenaan amat bermakna kepada seluruh warga dan kepimpinan masyarakat di Betong.
Katanya, majlis tersebut menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan antara kepimpinan kerajaan dengan KMKK, selain memberi ruang untuk bertukar pandangan serta mendengar suara dan aspirasi masyarakat di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, KMKK merupakan komponen penting dalam struktur kepimpinan masyarakat dan memainkan peranan dalam menyampaikan dasar, program serta inisiatif kerajaan, di samping membawa pandangan dan keperluan rakyat kepada pihak kerajaan.
“Skop tugas dan tanggungjawab KMKK turut merangkumi pengurusan adat, kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, pengurusan bencana, tanah, penyampaian maklumat, pembangunan infrastruktur serta pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya.
Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak turut menghargai khidmat bakti dan komitmen KMKK dalam memastikan masyarakat terus hidup dalam keadaan harmoni, selamat dan sejahtera.
Kerajaan Sarawak telah meluluskan kenaikan elaun KMKK sebanyak RM400 sebulan, dengan pelarasan kepada Temenggung daripada RM1,600 kepada RM2,000, Pemanca daripada RM1,300 kepada RM1,700, Penghulu daripada RM1,100 kepada RM1,500 dan Ketua Kaum daripada RM900 kepada RM1,300.
Pada majlis sama, turut dibangkitkan cadangan untuk menilai semula struktur dan bilangan jawatan KMKK di Bahagian Betong susulan pertambahan penduduk, perkembangan kawasan penempatan serta perubahan keperluan masyarakat.
Cadangan penambahan dan penyesuaian struktur jawatan KMKK di kawasan yang sesuai, khususnya kampung besar dan berpenduduk ramai, diharap dapat memastikan setiap komuniti mendapat liputan kepimpinan yang sewajarnya serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan di peringkat akar umbi.
Majlis tersebut turut menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama berterusan antara Kerajaan Sarawak, pentadbiran Bahagian Betong dan KMKK dalam menjayakan agenda pembangunan negeri serta memastikan dasar dan pembangunan kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak serta tetamu kenamaan lain. -EDISI UKAS