Pembangunan Miri Perlu Seiring Kemakmuran & Kesejahteraan Rakyat
MIRI: Pembangunan Miri menjelang 2030 perlu diterjemahkan kepada peluang ekonomi dan peningkatan kualiti hidup yang dapat dinikmati secara menyeluruh oleh masyarakat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, pertumbuhan ekonomi perlu disertai peluang yang lebih luas kepada golongan muda, keluarga dan masyarakat setempat.
“Pembangunan mesti mempunyai tujuan kepada manusia. Kemakmuran lebih bermakna apabila golongan muda mempunyai peluang, keluarga mempunyai jaminan, warga emas diberi perhatian, masyarakat kekal bersatu dan tiada yang dilupakan ketika Sarawak terus berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ‘MEC Mission and Evangelism Food Sales Fundraising Day di Malaysia Evangelical Theological Seminary’ (METS), di sini pada Sabtu.
Menurutnya, sektor pelancongan antara bidang yang berpotensi memperluas peluang ekonomi masyarakat tempatan menerusi perniagaan makanan, pengangkutan, inap desa, kraftangan, persembahan serta pengeluaran produk tempatan.
Katanya, golongan muda juga perlu dilengkapi kemahiran dalam bidang teknologi, pelancongan, hospitaliti, industri kreatif dan keusahawanan supaya mereka mampu memanfaatkan peluang ekonomi yang semakin berkembang.
Dalam pada itu, Datuk Sebastian menegaskan kemajuan ekonomi perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara alam sekitar dan warisan budaya sebagai khazanah untuk generasi akan datang.
Pada program sama, beliau bersama Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang, turut mengunjungi gerai-gerai jualan amal sebagai tanda sokongan kepada peserta yang mengambil bahagian. -EDISI UKAS