70 Jaket Keselamatan Bantu Tingkat Keselamatan Pengguna Sungai Jepak
BINTULU: Sebanyak 70 jaket keselamatan diserahkan kepada 13 kampung di kawasan Jepak serta Persatuan Nelayan Kecil Jepak sebagai usaha meningkatkan tahap keselamatan pengguna sungai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, aspek keselamatan sungai perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak, khususnya pengusaha dan pengguna bot yang menjadikan sungai sebagai laluan perhubungan serta sumber ekonomi.
“Janganlah kita menganggap aspek keselamatan sebagai perkara kecil. Satu tindakan yang betul pada masa yang tepat boleh menyelamatkan nyawa,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai Kampung Jepak Tahun 2026 di Dewan Masyarakat Kampung Jepak pada Sabtu.
Menurutnya, pemakaian jaket keselamatan perlu dijadikan amalan wajib setiap kali berada di atas bot, selain memastikan bot dan enjin berada dalam keadaan baik serta mematuhi had muatan yang ditetapkan.
Beliau berkata, sungai merupakan antara aset penting Sarawak yang sejak dahulu menjadi laluan perhubungan, sumber ekonomi dan sebahagian daripada kehidupan masyarakat, khususnya komuniti yang tinggal berhampiran sungai.
Dalam pada itu, Iskandar turut menyeru masyarakat supaya bersama-sama menjaga kebersihan sungai dengan tidak membuang sampah ke dalam sungai serta memastikan kawasan sekitar sentiasa bersih.
Katanya, usaha memelihara sungai memerlukan kesedaran dan kerjasama semua pihak bagi memastikan kelestarian hidupan akuatik serta kelangsungan aktiviti ekonomi masyarakat setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSSS) atas komitmen berterusan melaksanakan program kesedaran keselamatan dan kebersihan sungai, termasuk memperkukuh pendidikan serta kerjasama bersama komuniti.
Menurutnya, aktiviti gotong-royong yang dilaksanakan sehari sebelum program berkenaan dengan kerjasama penduduk Kampung Jepak dan LSSS turut memupuk semangat kerjasama, perpaduan serta rasa memiliki terhadap sungai dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir, Controller LSSS, Lt. Kol. Ding Tiew Wong, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Mohammad Rahimee Dahlan, wakil Pegawai Daerah Bintulu Ali Hikmatullah Khan Ali Sabri, wakil Ketua Polis Daerah Bintulu Asisten Superintenden Polis (ASP) Johnny James Bujang, Assistant Controller (Wilayah III) LSSS Bahagian Miri, Bintulu dan Limbang, Mohammad Ariffi Bujang serta Penghulu Kawasan Jepak Idil Ismail. -EDISI UKAS