RM23 Juta Pembiayaan PERNAS Perkasa Usahawan Francais Sarawak
MIRI: Sebanyak RM23 juta pembiayaan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) disalurkan kepada usahawan francais di Sarawak bagi membantu mengembangkan perniagaan serta memperluas penyertaan usahawan tempatan dalam sektor berkenaan, khususnya golongan belia.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, sokongan pembiayaan tersebut penting bagi membantu usahawan tempatan memperkukuh dan mengembangkan perniagaan francais masing-masing.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada pihak PERNAS yang telah memperuntukkan sebanyak RM23 juta untuk usahawan yang terlibat dalam sektor francais,” katanya ketika ditemui media pada program BizFrancais PERNAS @ Karnival Jom Heboh Miri, pada Sabtu.
Menurutnya, pembiayaan berkenaan turut membuka ruang lebih luas kepada belia Sarawak untuk meneroka sektor francais sebagai bidang keusahawanan.
Sehubungan itu, kementeriannya akan bekerjasama dengan PERNAS cawangan Sarawak bagi meningkatkan kesedaran belia mengenai peluang perniagaan francais serta menggalakkan penyertaan baharu dalam sektor tersebut.
Kerjasama itu menyasarkan penyertaan lebih 100 usahawan Sarawak, manakala hampir 50 peserta dijangka mengikuti program BizFrancais di Miri.
Datuk Dr Ripin berkata, bidang makanan dan minuman masih menjadi antara pilihan utama usahawan yang menyertai program berkenaan.
Sementara itu, PERNAS memaklumkan lebih 200 usahawan francais di Sarawak telah menerima sokongan menerusi pembiayaan dan program pembangunan perniagaan.
Bagi 2026, PERNAS menyasarkan pertambahan 50 usahawan francais baharu di Sarawak, sekali gus memperluas penglibatan usahawan tempatan dalam ekosistem francais.
Simbolik penyerahan pembiayaan disempurnakan Ketua Pegawai Kewangan dan Operasi PERNAS, Norazizah Zakaria kepada Datuk Dr Ripin yang mewakili usahawan francais Sarawak. -EDISI UKAS