RM3 Juta Perbaiki Sistem Perparitan Miri, Tiga Projek Utama Dikenal Pasti
MIRI: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan khas RM3 juta kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) bagi menambah baik sistem perparitan di Desa Senadin, Permyjaya, Tudan dan sebahagian Padang Kerbau susulan kejadian banjir awal tahun ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, peruntukan tambahan itu diperoleh menerusi permohonan khas kepada Premier Sarawak selepas tinjauan mendapati masalah penyelenggaraan, saliran tersumbat dan mendapan antara faktor yang menjejaskan aliran air di kawasan berkenaan.
“Peruntukan ini akan digunakan untuk kerja penambahbaikan sistem perparitan di kawasan berisiko bagi mengurangkan kemungkinan berlakunya banjir pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat penyelenggaraan saliran kawasan Senadin bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Miri dan MBM, sebelum mengadakan lawatan tapak pada Jumaat.
Menurut Dato Sri Lee Kim Shin, MBM telah mengenal pasti tiga projek utama bernilai keseluruhan RM2.99 juta, iaitu menaik taraf parit monsun di Jalan Desa Senadin bernilai RM1.17 juta dengan tempoh pelaksanaan tiga bulan, penyelenggaraan dan pendalaman parit tanah di sepanjang Jalan Miri-Kuala Baram bernilai RM1.26 juta selama dua bulan serta penyelenggaraan, pengorekan dan pembersihan sistem perparitan di beberapa lokasi sekitar Senadin bernilai RM562,390 dengan tempoh pelaksanaan sebulan.
Antara lokasi projek ketiga ialah Lorong Desa Pujut, Lorong Indah, Lorong Murmi, Jalan Dato Permaisuri, Jalan Tudan, Lorong Mulia, Lorong Sejahtera, Lorong Harmoni, Lorong Perdana, Jalan Sena dan Jalan Ilmu.
Dato Sri Lee Kim Shin berkata reka bentuk teknikal projek telah disediakan, dengan dua projek utama akan melalui proses tender sebelum dilaksanakan, manakala kerja penyelenggaraan saliran kawasan perumahan boleh dimulakan dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 18 projek penyelenggaraan sistem saliran dan kolam takungan bernilai RM1.17 juta telah disiapkan JPS bagi mengurangkan risiko banjir.
Projek berkenaan melibatkan penyelenggaraan enam kolam takungan utama serta pembersihan 12 saliran utama di Desa Senadin, Tudan, Permyjaya, Desa Pujut dan kawasan lain, termasuk kerja membuang keladi bunting, bahan terapung serta mendapan bagi melancarkan aliran air.
Sementara itu, JPS turut merancang penambahbaikan sistem perparitan jangka panjang di Desa Senadin dan Sungai Lutong serta laluan dari Taman Tunku hingga Padang Kerbau.
Projek berskala besar itu masih memerlukan penyelesaian isu utiliti dan kelulusan berkaitan.
Dato Sri Lee Kim Shin turut menekankan kepentingan kerjasama JPS, MBM, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Tanah dan Survei menerusi Jawatankuasa Saliran Bahagian Miri bagi memastikan penyelenggaraan dan langkah mitigasi banjir dilaksanakan secara menyeluruh.
Beliau berharap semua agensi berkaitan terus memperkukuh sistem perparitan di kawasan berisiko bagi mengurangkan kejadian banjir pada masa hadapan.- EDISI UKAS