Sarawak Perhebat RAS, Naik Taraf Lapangan Terbang Miri RM445 Juta
MIRI: Kerajaan Sarawak terus memperhebat usaha memperkukuh kesalinghubungan udara negeri menerusi penambahbaikan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) serta cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Miri dengan anggaran kos RM445 juta.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman, terus mendapat akses kepada perkhidmatan pengangkutan udara yang selamat, cekap dan boleh dipercayai.
Menurutnya, kementerian terus bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB) serta pengendali RAS bagi menangani cabaran operasi dan memastikan perkhidmatan udara ke kawasan seperti Bario, Ba’Kelalan, Long Seridan dan Long Akah terus terpelihara.
“Perkhidmatan udara luar bandar tidak boleh dinilai berdasarkan pulangan komersial semata-mata. Nilai sebenarnya terletak pada kemudahan akses, keterangkuman sosial dan memastikan masyarakat pedalaman tidak ketinggalan dalam arus pembangunan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sesi Libat Urus dan Makan Malam Penghargaan bersama pemain industri serta pemegang taruh penerbangan di Kenyalang Smart City (KSC), pada Khamis.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee Kim Shin berkata kementerian turut meneruskan usaha memajukan cadangan pemanjangan landasan di Bario dan Limbang, pembangunan Lapangan Terbang Baharu Lawas serta menaik taraf kemudahan di Ba’Kelalan dan Long Banga.
Katanya, cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Miri dengan anggaran kos RM445 juta merupakan antara keutamaan kementerian bagi meningkatkan kapasiti terminal serta menambah baik kemudahan penumpang.
Menurutnya, naik taraf berkenaan turut penting bagi memperkukuh kedudukan Miri sebagai pintu masuk utama ke utara Sarawak, khususnya dalam menyokong sektor pelancongan, perdagangan dan industri minyak dan gas.
“Selain itu, pembangunan STOLport Bebuling di Betong berpotensi membuka peluang baharu dalam sektor pertanian dan latihan penerbangan di bahagian itu, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan serta pematuhan keperluan keselamatan dan operasi,” katanya.
Dato Sri Lee menambah, pembangunan infrastruktur pengangkutan udara turut disokong menerusi kerjasama berterusan dengan pengendali lapangan terbang dan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan aspek operasi serta keselamatan diberi keutamaan.
Katanya, kerjasama berkenaan merangkumi pemeriksaan kemudahan, pemantauan kualiti perkhidmatan, penyelarasan aspek keselamatan serta program kesiapsiagaan kecemasan.
Menurutnya, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan pembangunan pengangkutan udara Sarawak bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan bandar dan pedalaman, malah disokong operasi yang boleh dipercayai serta standard keselamatan yang tinggi.- EDISI UKAS