Integriti, Kecekapan Penting Dalam Penyampaian Perkhidmatan MDB
BETONG: Integriti dan kecekapan dalam pelaksanaan tugas penting bagi memastikan Majlis Daerah Betong (MDB) dapat menyampaikan perkhidmatan berkualiti serta memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu berkata, MDB sebagai barisan hadapan pentadbiran kerajaan perlu mengutamakan sikap jujur, amanah dan bertanggungjawab dalam setiap urusan.
Menurutnya, tanggungjawab MDB merangkumi kawasan pentadbiran dari Bandar Betong hingga ke Daerah Kecil Spaoh, Debak, Meludam dan Pusa, sekali gus menuntut komitmen tinggi seluruh warga kerja dalam memenuhi jangkaan masyarakat terhadap aspek kebersihan, penyelenggaraan parit, tandas awam, pasar dan kemudahan jalan raya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Hari Suai Mesra dan Hari Integriti MDB di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, pada Jumaat.
Dato Dr. Richard turut menegaskan bahawa pemantauan kerja kontraktor dan pengeluaran lesen perlu dilaksanakan secara cekap, adil dan tanpa pilih kasih, manakala setiap projek pembangunan hendaklah memberikan nilai terbaik kepada penggunaan wang awam.
Dalam pada itu, masyarakat dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) digalakkan menyalurkan maklum balas serta cadangan kepada pihak MDB bagi membantu meningkatkan mutu perkhidmatan.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya bersama-sama menjaga kebersihan dan kemudahan awam, mengelakkan vandalisme serta menjelaskan cukai taksiran dan lesen mengikut tempoh ditetapkan.
Program itu turut merangkumi sesi randau bersama KMKK, demonstrasi keselamatan kebakaran dan asas pertolongan cemas serta ceramah integriti oleh Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Betong.
Program berkenaan turut menyaksikan Sesi Randau Ahli Parlimen Betong bersama Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum (KMKK) bagi membincangkan pelbagai isu serta keperluan masyarakat di kawasan setempat.-EDISI UKAS