Jalan Penghubung Batang Paloh–Batang Lassa Perlu Dinaik Taraf
DARO: Naik taraf jalan penghubung antara Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Batang Lassa di Pulau Bruit perlu diberi perhatian bagi memastikan kelancaran perhubungan darat serta meningkatkan keselesaan pengguna.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, antara keutamaan yang perlu dipertimbangkan ialah pelebaran jalan dan penambahbaikan laluan yang mengalami mendapan tanah.
“Jalan raya antara kedua-dua jambatan ini di Pulau Bruit, antara Jambatan Batang Paloh dan Batang Lassa, haruslah dinaik taraf untuk dilebarkan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Pembukaan Awal Jambatan Batang Paloh yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, di sini, pada Jumaat.
Menurut Datuk Abdullah, manfaat pembukaan jambatan itu bukan sahaja dirasai penduduk Pulau Bruit, malah turut melibatkan pengguna dari Mukah, Oya, Dalat dan Bintulu yang menggunakan laluan berkenaan untuk ke Tanjung Manis serta destinasi lain.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, perkhidmatan feri sedia ada dirancang untuk dimanfaatkan bagi menghubungkan kawasan Kedang dan Berangan dengan penempatan berhampiran sementara menunggu pelaksanaan projek jalan raya yang menghubungkan kawasan berkenaan ke Tanjung Manis.
Katanya, projek jalan raya itu telah mendapat kelulusan, namun pelaksanaannya dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun.
Sehubungan itu ujarnya, penambahbaikan rangkaian jalan penghubung perlu diberi perhatian bagi melengkapkan manfaat infrastruktur baharu serta memastikan perhubungan penduduk di Pulau Bruit dan kawasan sekitarnya terus dipertingkat.-EDISI UKAS