MPP UNIMAS Digesa Jadi Rakan Strategik Universiti, Utamakan Kebajikan Mahasiswa
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) digesa memainkan peranan lebih besar sebagai rakan strategik universiti dengan memastikan suara, kebajikan dan kepentingan seluruh mahasiswa diberi perhatian dalam setiap keputusan serta tindakan yang diambil.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dato Dr Ahmad Hata Rasit berkata, mandat yang diberikan kepada wakil mahasiswa bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya membawa tanggungjawab untuk mewakili keseluruhan komuniti pelajar, termasuk mereka yang tidak mengundi dalam pemilihan kampus.
“MPP perlu menjadi saluran komunikasi yang berkesan antara mahasiswa dengan pihak pengurusan universiti, selain berperanan menyampaikan isu dan pandangan pelajar secara profesional, berfakta serta membina.
“Keberkesanan kepimpinan mahasiswa tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan semata-mata, tetapi sejauh mana usaha mereka membawa perubahan dan memberi manfaat bermakna kepada komuniti kampus,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Serah Watikah MPP UNIMAS, di sini pada Jumaat.
Beliau turut menekankan kepentingan MPP mendengar pandangan mahasiswa dengan empati, bertindak berasaskan fakta dan melaksanakan amanah dengan penuh integriti, khususnya dalam memperjuangkan kebajikan serta memastikan tiada kelompok pelajar terpinggir.
Dalam pada itu, beliau berkata, kepimpinan mahasiswa juga perlu seiring dengan hala tuju strategik UNIMAS menerusi pelan IDEA yang memberi penekanan kepada pembangunan insan, inovasi, pengaruh global dan kelestarian.
Dalam majlis berkenaan, Sara Qadeeja Muhammad Farid, mencipta satu lagi kesinambungan kepimpinan mahasiswa wanita apabila diberi kepercayaan menerajui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu bagi Sesi 2026/2027. -EDISI UKAS