MITSA Bantu Pelajar SMK Bako Perkukuh Persediaan SPM
KUCHING: Persatuan Alumni UiTM Sarawak (MITSA) terus memperkukuh pembangunan modal insan menerusi program motivasi dan bimbingan peluang pengajian bagi membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta merancang hala tuju pendidikan selepas sekolah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri berkata, program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bako itu merupakan kesinambungan usaha MITSA melaksanakan program pembangunan modal insan dan khidmat masyarakat di seluruh Sarawak.
Menurutnya, inisiatif berkenaan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris, selain maklumat berkaitan program pengajian yang ditawarkan UiTM serta syarat kemasukan bagi setiap bidang.
“Dan usaha ini membuktikan bahawa peranan alumni bukan sahaja untuk menjaga hubungan sesama ahli, tetapi juga untuk kembali menyumbangkan ilmu, pengalaman, dan kepakaran kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Motivasi dan Bimbingan Peluang Pengajian Pelajar, di sini pada Sabtu.
Dato Sri Nancy berkata, program berkenaan turut memberi tumpuan kepada pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki SPM, dengan seramai 258 pelajar di sekolah itu dijadual menduduki peperiksaan berkenaan.
Beliau berkata, keputusan peperiksaan percubaan pelajar turut menunjukkan peningkatan berbanding keputusan sebelumnya, sekali gus mencerminkan potensi mereka untuk mencapai pencapaian lebih baik dalam SPM.
Selain bimbingan akademik, katanya, pelajar turut diberikan penerangan mengenai peluang melanjutkan pengajian di UiTM, termasuk bidang pengajian dan syarat kemasukan yang diperlukan.
“Jadi oleh sebab itu, kepada para pelajar sekalian, program hari ini bukan sahaja memberi motivasi, tetapi turut menyediakan bimbingan dalam mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris,” katanya.
Dalam program berkenaan, Dato Sri Nancy turut menyerahkan sumbangan kalkulator daripada MITSA kepada Pengetua SMK Bako, Mohd Firdaus Abdullah, bagi kegunaan pelajar yang memerlukan khususnya sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.
Menurutnya, program motivasi dan bimbingan seumpama itu telah dilaksanakan MITSA sejak 2005 di beberapa lokasi di Sarawak, termasuk Bintulu, Mukah, Lawas, Simunjan, Serian dan Miri.
Turut hadir, Presiden MITSA Tuah Wan Idris Wan Ibrahim, Timbalan Rektor (Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri) UiTM Sarawak Profesor Ir Dr Juferi Idris, Pegawai Pendidikan Daerah Kuching Dr Majelan Sulong dan Setiausaha Politik kepada Menteri Mohammed Kamaluddin Mohd Effendie. -EDISI UKAS