Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak: Formula Nisbah Perlu Dibincang
KUCHING: Perbincangan mengenai peruntukan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak ketika ini lebih menjurus kepada penentuan formula nisbah perwakilan, berbanding menetapkan jumlah kerusi tertentu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri berkata, perkara berkenaan perlu diperincikan bersama dari sudut perundangan sebelum formula tersebut dapat ditentukan.
Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dengan tumpuan diberikan kepada kaedah penyusunan nisbah berikutan perubahan kedudukan Malaysia selepas Singapura keluar daripada Persekutuan.
“Kerusi Parlimen ini, seperti yang telah dibincang oleh Premier Sarawak dan juga Ketua Menteri Sabah bersama dengan Perdana Menteri, mereka perlu menyusun atur dari segi yang dikatakan nisbah bukannya berapa jumlah tetap kerana apabila Singapura keluar daripada Malaysia, satu per tiga itu telah dikatakan kosong,” katanya ketika ditemui media selepas program di SMK Bako, pada Sabtu.
Dato Sri Nancy berkata, formula satu per tiga berkenaan perlu dibincangkan bersama dari segi perundangan sebelum sebarang ketetapan dibuat.
“Jadi satu per tiga itu, bagaimana formula satu per tiga itu diwujudkan perlu dibincangkan bersama dari segi perundangannya,” katanya lagi.
Beliau berkata, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu formula yang akan dibincangkan melalui mekanisme berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dato Sri Nancy turut menjelaskan bahawa Ahli Parlimen Sarawak dan wakil Sarawak dalam Kabinet Persekutuan telah menyuarakan perkara berkaitan perwakilan Parlimen. -EDISI UKAS