Dialog Sarawakku Sayang Platform Penduduk Kemuka Isu Pembangunan
MATU: Dialog Pembangunan Sarawakku Sayang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng Siri 6 bagi Zon Batang Igan menjadi platform bagi penduduk mengemukakan pelbagai isu berkaitan kemudahan asas dan persekitaran setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, sesi dialog berkenaan penting bagi membolehkan pihaknya mendengar secara langsung permasalahan yang dihadapi penduduk di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, antara isu yang dibangkitkan termasuk kehadiran haiwan liar atau ganas, infrastruktur, keselamatan penduduk yang menggunakan sungai, tanah dan ukur tanah serta liputan internet.
“Pelbagai isu telah dikemukakan penduduk dan perkara seperti ini perlu kita ambil maklum supaya tindakan susulan dapat dikenal pasti serta dibawa kepada agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri dialog berkenaan, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng berkata, dialog pembangunan seperti itu akan terus menjadi ruang bagi kerajaan mendengar suara rakyat dan mendapatkan maklum balas secara langsung berkaitan keperluan masyarakat.
Tambahnya, kerjasama erat antara penduduk, pemimpin masyarakat dan agensi kerajaan penting bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan dapat ditangani secara tersusun demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat di Jemoreng. -EDISI UKAS