399 Bakul Makanan Ringankan Beban KIR Zon Batang Igan
MATU: Sebanyak 399 Ketua Isi Rumah (KIR) di Zon Batang Igan menerima bakul makanan menerusi Program Agihan Mesra Rakyat yang disalurkan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Igan (LAKII), pada Jumaat.
Agihan tersebut disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng.
Menurut beliau, bantuan berkenaan bertujuan membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian penerima, khususnya dalam mendapatkan barangan keperluan asas keluarga.
“Diharapkan bantuan ini dapat mengurangkan beban perbelanjaan harian penerima, khususnya dalam mendapatkan barangan keperluan asas keluarga,” katanya.
Daripada jumlah keseluruhan penerima, sebanyak 172 KIR dari Kampung Kebuaw/Sungai Sah menerima bantuan tersebut, diikuti Rumah Lang seramai 24 KIR, Rumah Joseph Aus seramai 26 KIR, Rumah Raya seramai 44 KIR, Rumah Mison seramai 27 KIR, Rumah Jarit seramai 85 KIR dan Rumah Julin seramai 21 KIR.
Bakul makanan berkenaan mengandungi barangan keperluan asas harian termasuk beras, minyak masak dan barangan makanan lain bagi membantu memenuhi keperluan keluarga penerima. -EDISI UKAS