Empat Keluarga Batang Igan Nikmati Kediaman Lebih Selesa Menerusi PPRMS
MATU: Empat keluarga di sekitar Batang Igan kini menikmati kediaman yang lebih selesa dan selamat selepas rumah mereka dinaik taraf menerusi Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya, turun padang meninjau sendiri rumah penerima yang telah siap dibaik pulih, pada Jumaat.
Penambahbaikan kediaman menerusi program berkenaan melibatkan kerja pembaikan komponen penting rumah termasuk penggantian bumbung yang telah uzur, sekali gus mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selamat dan kondusif untuk keluarga.
Lawatan tersebut turut memberi peluang kepada Datuk Dr Juanda bertemu penerima bagi mendapatkan maklum balas serta melihat hasil pelaksanaan projek selepas rumah masing-masing selesai dinaik taraf.
Program PPRMS merupakan antara usaha membantu golongan yang memerlukan mendapatkan kediaman lebih sempurna dan selamat, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penerima serta keluarga mereka. -EDISI UKAS