RM45,000 MRP Disalur Kepada JKKK dan PIBG di Jemoreng
MATU: Sebanyak RM45,000 peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan kepada tujuh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta sebuah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng.
Peruntukan tersebut disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya, dalam program penyerahan di sekitar Kampung Kebuaw, Telok Deloh dan Sungai Ilas, pada Jumaat.
Menurut beliau, peruntukan berkenaan bertujuan menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti serta inisiatif pembangunan komuniti setempat.
Beliau berharap penerima dapat memanfaatkan peruntukan tersebut sebaik-baiknya bagi menjayakan aktiviti yang dirancang, selain memperkukuh semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Datuk Dr Juanda turut menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus menyokong inisiatif pembangunan komuniti bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan Jemoreng. -EDISI UKAS