Malam Kebudayaan Sarawak Semarakkan Seni Dan Budaya Di Betong
BETONG: Malam Kebudayaan Sarawak sempena Program Sarawakku Sayang Bahagian Betong 2026 berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 2,000 pengunjung di Kompleks Sukan Betong, malam Jumaat.
Dianjurkan oleh Majlis Seni Sarawak (MSS), acara tersebut menampilkan pelbagai persembahan seni dan kebudayaan yang menggambarkan kepelbagaian, keharmonian serta keindahan Sarawak melalui penglibatan penggiat seni dan kumpulan kebudayaan tempatan.
Persembahan pembukaan oleh MSS menerusi tarian bertemakan Sarawakku Sayang disusuli persembahan tradisional masyarakat Iban, iaitu Ngajat Bujang Berani dan Ngajat Ngalu Temuai oleh Akademi RG Betong.
Turut dipersembahkan ialah tarian masyarakat Orang Ulu yang lemah gemalai oleh Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Betong serta tarian masyarakat Cina oleh SJKC Chung Hua Betong dan Persembahan Gendang Bermukun oleh Kumpulan Sanggar Tradisi Spaoh, sekali gus menyerlahkan kepelbagaian warisan budaya yang menjadi identiti Sarawak.
Acara tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan bertenaga artis kelahiran Sarawak, antaranya Mawat, Shilla J, Alex Wan, Meiy Sanisha, Stanley dan Mix Project Band yang menghiburkan para pengunjung sepanjang malam.
Malam Kebudayaan Sarawak turut menjadi pentas kepada penggiat seni tempatan untuk mengetengahkan bakat, karya serta persembahan mereka kepada masyarakat, selain memperluaskan ruang penglibatan dalam bidang seni dan kebudayaan.
Penganjuran acara tersebut juga bertujuan menyokong penggiat seni dan budaya tempatan melalui pelbagai persembahan serta aktiviti kebudayaan, di samping menggalakkan penglibatan generasi muda di Betong agar warisan seni dan budaya Sarawak terus dipelihara dan diwarisi pada masa hadapan.
Kepelbagaian persembahan yang ditampilkan turut mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat Sarawak selaras dengan semangat Segulai Sejalai, yang menyatukan masyarakat berbilang kaum melalui seni dan budaya.
Malam Kebudayaan Sarawak tersebut disempurnakan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Dato Mohd Chee Kadir, ADUN Beting Maro Dato Razaili Gapor dan ADUN Lingga Dayang Noorazah binti Awang Sohor.
Turut hadir Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Julin Alen, serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Seni Sarawak, Dr. Suffian Betong.
Penganjuran Malam Kebudayaan Sarawak ini sekali gus memperlihatkan peranan seni dan budaya sebagai medium menyatukan masyarakat serta memperkenalkan kekayaan warisan Sarawak kepada pengunjung dari dalam dan luar Bahagian Betong.-EDISI UKAS