Visi ‘Betong To The World’ Mula Tunjuk Hasil Nyata
BETONG: Visi ‘Betong to the World’ kini diterjemahkan menerusi pembangunan strategik yang memperkukuh keterhubungan, memodenkan sektor pertanian dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, visi yang digagaskan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg itu semakin menampakkan hasil nyata, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pembangunan Bahagian Betong.
Menurutnya, antara perkembangan penting ialah pendaratan pertama pesawat di Bebuling STOLport yang menjadi langkah signifikan ke arah meningkatkan keterhubungan udara ke kawasan berkenaan.
“Pada 18 September 2026, sejarah tercipta apabila pesawat pertama, Kingair – Hornbill Skyways, mendarat dengan selamat di Bebuling STOLport.
“Ini langkah penting membuka lembaran baharu perhubungan udara ke Betong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Sarawakku Sayang (SKS) Betong 2026 yang disempurnakan Datuk Patinggi Abang Zohari, di sini pada Sabtu.
Datuk Amar Douglas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, usaha memodenkan sektor pertanian turut diperkasa menerusi pembangunan Bebuling Agropark dan Lubok Tamang Agropark yang memberi fokus kepada pertanian berskala komersial serta berteknologi tinggi.
“Kita mahu mempelbagaikan pertanian daripada tanaman tradisional kepada tanaman baharu yang mempunyai pasaran dan nilai lebih tinggi,” ujarnya.
Katanya, kedua-dua projek itu turut disokong pembangunan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan (CPPC) di Spaoh dan Layar bagi memperkukuh rantaian bekalan agromakanan serta meningkatkan akses pasaran, khususnya bagi pengusaha tempatan.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban menekankan pembangunan modal insan sebagai antara pemacu utama kejayaan jangka panjang Betong, khususnya dalam melahirkan generasi muda berkemahiran dan berdaya saing.
Jelasnya, pelbagai inisiatif pendidikan yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak, termasuk pendidikan percuma di institusi milik negeri, memberi peluang lebih luas kepada anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa dibebani yuran pengajian.
“Ini penting bagi memastikan kita mempunyai tenaga kerja mahir yang mampu menyokong pembangunan industri baharu, termasuk dalam sektor pertanian moden dan ekonomi digital,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru masyarakat Betong agar terus menyokong agenda pembangunan dengan memanfaatkan setiap peluang yang disediakan supaya limpahan pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak serta tetamu kehormat lain.-EDISI UKAS