Autoriti Khas Dicadang Selaras Pembangunan Tasik Berpotensi Di Betong
BETONG: Kerajaan Sarawak bercadang menubuhkan autoriti khas bagi menyelaras pembangunan tasik dan kawasan semula jadi berpotensi di Bahagian Betong sebagai produk pelancongan baharu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan aset semula jadi berkenaan dilaksanakan secara terancang, termasuk berpotensi dijadikan kawasan resort.
Menurutnya, autoriti tersebut akan memantau pembangunan tasik serta kawasan semula jadi yang dikenal pasti mempunyai nilai pelancongan.
“Kalau ada lokasi di mana mereka bangunkan tasik menjadi kawasan resort, maka insya-Allah kita akan membangunkan satu autoriti yang akan memantau semua tasik-tasik kita, termasuk semua kawasan semula jadi yang ada potensi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong, pada Sabtu.
Menurut Premier Sarawak, sektor pelancongan mempunyai potensi besar untuk menjana manfaat ekonomi kepada penduduk setempat menerusi pengembangan produk dan pakej pelancongan yang berasaskan keunikan kawasan berkenaan.
Katanya, Betong mempunyai pelbagai aset semula jadi termasuk tasik dan lokasi menarik yang boleh diketengahkan sebagai destinasi baharu kepada pelancong.
Dalam pada itu, beliau berkata penambahbaikan kemudahan perhubungan dan infrastruktur turut menjadi elemen penting bagi memudahkan akses pelancong ke destinasi berpotensi di kawasan berkenaan.
Menurutnya, perjalanan yang sebelum ini mengambil masa berjam-jam melalui laluan darat dapat dipendekkan dengan kemudahan pengangkutan dan akses yang lebih baik, sekali gus meningkatkan daya tarikan destinasi pelancongan.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menekankan aspek budaya dan makanan tempatan yang boleh digabungkan dengan keindahan alam semula jadi dalam pakej pelancongan bagi menawarkan pengalaman yang lebih menyeluruh kepada pengunjung.
“Ini adalah sektor yang boleh memberi manfaat kepada orang kita,” katanya lagi.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak serta tetamu kenamaan lain. -EDISI UKAS