Teknologi Dron Pacu Kecekapan Sektor Pertanian Betong
BETONG: Penggunaan teknologi dron dalam sektor pertanian bakal menjadi antara pendekatan baharu bagi meningkatkan kecekapan pengurusan serta pengeluaran hasil pertanian di Bahagian Betong.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penggunaan teknologi berkenaan penting dalam usaha memodenkan sektor pertanian selaras dengan keperluan pengeluaran makanan pada masa kini.
Menurut beliau, penggunaan dron dalam aktiviti pertanian memerlukan tenaga mahir yang mempunyai pengetahuan serta kelayakan berkaitan bagi memastikan teknologi tersebut dapat dimanfaatkan secara berkesan.
“Pendekatan berasaskan teknologi juga perlu diterapkan dalam sektor pertanian bagi meningkatkan produktiviti, selain membantu Sarawak memperkukuh pengeluaran makanan untuk pasaran tempatan dan luar negara.
“Dron adalah penting dan kita perlu ada tenaga yang boleh mengendalikan serta menguruskan teknologi ini dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong, pada Sabtu.
Malah ujar beliau, penggunaan teknologi terkini dalam sektor pertanian akan membolehkan Bahagian Betong mengembangkan potensi kawasan itu untuk dibangunkan sebagai kawasan pengeluaran hasil pertanian berikutan kesesuaian tanah serta peluang memperluaskan pengeluaran makanan.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak serta tetamu lain. -EDISI UKAS