Sarawak Perlu Tangani Penghijrahan Tenaga Kesihatan Terlatih
KUCHING: Sarawak perlu menangani cabaran penghijrahan tenaga kesihatan terlatih bagi memastikan pelaburan dalam pembangunan kepakaran dan tenaga kerja kesihatan terus memberi manfaat kepada negeri.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian dalam usaha memperkukuh kapasiti tenaga kesihatan, termasuk memastikan latihan yang diberikan bukan sahaja membentuk kemahiran dan pengetahuan, malah nilai serta komitmen untuk berkhidmat.
“Kita melatih ramai tenaga kesihatan, tetapi akhirnya mereka berhijrah. Itu yang kita sedang hadapi sekarang. Kita melatih ramai untuk berhijrah, kemudian kita kata jangan latih mereka, sekurang-kurangnya mereka tidak berhijrah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Saintifik Kesihatan Borneo, di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, pembangunan tenaga kesihatan perlu dilihat secara menyeluruh dengan memberi penekanan kepada kepakaran, pembangunan tenaga kerja, penyelidikan serta penggunaan teknologi bagi meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan dan memperluas akses kepada masyarakat.
“Yang lebih penting bagi kita ialah memastikan kualiti penjagaan kesihatan serta bagaimana perkhidmatan itu dapat disampaikan kepada masyarakat. Ini memerlukan kerajaan, sektor kesihatan awam dan swasta, universiti, penyelidik, industri serta golongan profesional dan pelbagai kepakaran untuk berganding bahu,” ujarnya lagi.
Menurutnya, pendekatan secara bersama antara pelbagai pihak penting bagi menghasilkan penyelesaian baharu terhadap cabaran kesihatan, termasuk memastikan kepakaran yang dibangunkan dapat dimanfaatkan secara optimum dalam sistem kesihatan negeri.
Datuk Amar Dr Sim menambah kekuatan sistem kesihatan juga tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah fasiliti semata-mata, sebaliknya berdasarkan hasil rawatan dan manfaat yang diterima pesakit.
Dalam konteks bidang neurosains, katanya, peningkatan kes strok dan demensia menjadikan bidang berkenaan semakin penting untuk diperkasa, termasuk melalui diagnosis awal, rawatan lebih berkesan dan pemulihan yang lebih baik.
Persidangan itu menghimpunkan kira-kira 200 peserta terdiri daripada profesional kesihatan, pengamal perubatan, penyelidik, ahli akademik serta pemain industri dari Sarawak, Sabah, Brunei, Kalimantan dan kawasan lain.
Turut hadir, Pegawai Bertanggungjawab dan Ketua Pengarah Perubatan KPJ Healthcare Berhad, Professor Dato Dr Hanafiah Harunarashi, Naib Canselor Universiti Kesihatan KPJ, Profesor Dr Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah bagi Malaysia Timur, Dr Kenny Yeap Kim Pey, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Kesihatan KPJ, Professor Dr Lekhsan Othman, Pengarah Perubatan Hospital Pakar Kuching, Dr Mahadhir Alhady Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Kuching, Nor Azlina Jemain, serta Pengerusi Persidangan Saintifik Kesihatan Borneo Pertama, Dr Lau Bik Liang. -EDISI UKAS