Kenyataan SPR Mengenai Kerusi Parlimen Sarawak Tidak Bercanggah
BETONG: Kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa tiada cadangan pertambahan bahagian pilihan raya Parlimen Sarawak buat masa ini tidak bercanggah dengan persetujuan prinsip Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sebarang penambahan kerusi perlu melalui proses dan prosedur ditetapkan, termasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan serta kelulusan Parlimen sebelum proses persempadanan semula dilaksanakan.
Menurut beliau, jumlah kerusi yang bakal ditambah juga masih tertakluk kepada keputusan Kerajaan Persekutuan.
“Kalau hendak tambah, berapa hendak ditambah itu terpulang kepada kerajaan kerana ia melibatkan Parlimen.
“Selepas itu, ia mesti dibawa ke Parlimen dahulu sebelum proses seterusnya seperti pewartaan dan penyusunan semula sempadan kawasan dilaksanakan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong di Kompleks Sukan Betong pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Premier Sarawak berkata, proses persempadanan semula turut melibatkan pameran cadangan sempadan bagi membolehkan pihak berkepentingan mengemukakan bantahan sebelum proses berkenaan diteruskan.
Katanya, kenyataan SPR bahawa pihaknya belum menerima cadangan pertambahan kerusi adalah selaras dengan kedudukan semasa memandangkan proses rasmi berkaitan perkara itu belum dimulakan.
“Pengerusi SPR kata beliau belum menerima kerana memang belum ada, proses belum bermula.
“Apabila proses berjalan, barulah perkara itu dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Pada 25 September lepas, SPR memaklumkan bahawa tiada cadangan pertambahan bahagian pilihan raya Parlimen Sarawak buat masa ini, manakala hanya Syor Kajian Semula Persempadanan (KSP) Negeri Sarawak Ke-7 sedang dipamerkan kepada orang ramai sehingga 30 September 2026.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 September lepas pula memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju secara prinsip untuk meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen, dengan mekanisme serta jumlah kerusi masih memerlukan perbincangan lanjut. -EDISI UKAS